Bab 3 ~ Konflik
Jam dinding sudah berdetik sekali, menandakan pukul satu pagi. Lebai Syakir masih tidak mengantuk. Dia tetap setia di ruang tamu sambil membaca tafsir Al-Quran. Sesekali dia menjenguk ke luar rumah. Mata asyik tertumpu ke pintu pagar utamanya.
“Mana pulak budak-budak ni? Tak balik-balik lagi. Risau aku dibuatnya!” Lebai Syakir meletakkan buku di atas kerusi. Dia mulai mundar-mandir di ruangan tamu itu.
Pintu pagar terbuka. Kelibat kereta Ain kelihatan memasuki ke perkarangan garaj rumahnya. Lebai Syakir melulu ke pintu utama. Wajahnya hampa apabila melihat susuk tubuh Nasseer sahaja yang keluar.
“Kak Ain, mana Seer?” Lebai Syakir terus menerjah Nasseer dengan soalan sebelum anak lelaki tunggalnya itu sempat memberi salam.
“Dia dengan Abang Zaf. Abang Zaf ajak dia minum dulu kut!” Nasseer cuba memberikan alasan yang logik kepada ayahnya. Takkan dia hendak beritahu ayahnya yang Ain sedang elok lolok dengan pil khayal.
“Nak minta apa lagi, kan dah tengah malam ni,” Lebai Syakir membebel.
“Alah, tak payahlah abang susah-susahkan diri, nak tunggu dia. Baik abang berehat. Abangpun bukannya sihat sangat. Pandai dia keluar, pandai-pandailah dia cari jalan balik.” Sindir Puan Samsina. Lebai Syakir hanya menghela nafas panjang. Sememangnya, isterinya itu tidak sebulu langsung dengan Ain.
“Aku risaukan Ain. Dah tengah malam ni, tak balik-balik lagi. Seer saja yang sampai. Zaf pula, entah ke mana mereka melencong. Bukannya aku tak suruh mereka terus balik ke rumah lepas jumpa Ain.” Bebel Lebai Syakir makin panjang.
“Ayah, Seer masuk tidur dulu. Esok ada kelas!” Nasseer segera bersalaman dengan kedua orang tuanya. Baik dia mengelak sebelum dia juga terbabit dalam ceramah tidak bertajuk itu. Sekejap sahaja, Nasseer hilangkan diri masuk ke dalam bilik tidurnya.
“Saya nikan dah puas pekakkan telinga. Orang perempuan dekat masjid tu, asyik mengata dan mengumpat Ain je. Cakap Ain cuba goda laki merekalah. Dan macam-macam lagi. Saya risau nanti abang dapat menantu sebaya dengan usia abang je!” Puan Samsina sengaja mengapi-apikan perasaan Lebai Syakir.
“Kau ada bukti si Ain tu goda laki diorang? Ada ke?” Soalan Lebai Syakir itu membuatkan Puan Samsina menarik muka masam. Isterinya menghempaskan punggung ke sofa empuk.
“Kalau laki diorang tak kena goda, saya takut laki saya yang kena goda nanti!” Puan Samsina menyakitkan hati suaminya. Memang ada juga terpalit rasa resah dalam hatinya. Lebai Syakir dan Ain, kan sah jika berkahwin.
“Mulut kau tu jaga sikit. Karang cili kisar dalam peti sejuk tu yang aku lumurkan kat mulut kau nanti,” Lebai Syakir mengurut dadanya. Geram pula si isteri asyik mengapi-apikan perasaannya sejak tadi.
“Saya tersalah cakap ke Abang Lebai? Abang dan dia, terbatal wuduk tau. Dia bukan anak susuan abang. Abang Lebai sendiri cakap dengan saya, Murni tak berjaya susukan Ain. Entah dari keturunan mana abang pungut dia, Sam tak tahu. Perangai dia jauh panggang dari api. Kita tak pernah didik dia jadi macam tu!” Bebel Puan Samsina.
“Kau jangan nak kusutkan kepala aku, Sam!” Lebai Syakir sudah mula memicit-micit dahinya. Ada isteripun bukan hendak meringankan bebannya. Ditambahkan tuba lagi adalah.
“Cuba tengok anak kita, Nasseer tu. Elok saja akhlaknya. Ikut jejak langkah abang. Ain, terus hanyut ke Laut China Selatan. Terdedah sana sini. Malu saya, bang!” Kata-kata Puan Samsina terus terhenti seketika.
‘Hendak dijaga anak perempuan seorang, mengalahkan menjaga seratus orang.’ Gumam Lebai Syakir dalam hati.
“Hah, baguslah. Sekarang Ain dan Zaf pula berdua-duaan. Sorang teruna, sorang lagi anak dara. Entahkan dara ke tidak agaknya. Dah tengah malam-malam tak balik lagi. Dalam kereta bolehlah meraba-raba agaknya.” Mencemik muka Puan Samsina.
“Sam, jaga sikit mulut kau tu!” Berang Lebai Syakir mendengar Puan Samsina terus-terusan menghina dan menfitnah Ain. Dalam hati Lebai Syakir, berdoa janganlah perkara yang disebut-sebut isterinya jadi kenyataan. Mana dia hendak letak muka nanti. Malu dengan orang sekeliling.
“Tak boleh kita sentuh sikit pasal anak kesayangan dia tu. Mesti nak melenting. Rupa dah sama macam sakai agaknya. Memanglah tak berani terus jejakkan kaki ke rumah. Dah puas agaknya terkinja-kinja dekat kelab malam tu. Berkawan dengan setankan.” Puan Samsina masih berdegil tidak mahu berdiam diri. Memang hasratnya untuk memastikan Ain diusir keluar. Jika berjaya disingkirkan segera, lagi bagus. Aman damai hidupnya kelak.
Mata Lebai Syakir cerlung merenung wajah isterinya. Dia tahu Ain tidak sejahat itu. Mungkin gadis itu memberontak dan salah pilih tempat untuk melepaskan tekanannya. Salah satu tekanan datang dari isterinya juga. Dia beristifar banyak-banyak. Pohon kesabaran dari Yang Maha Esa.
“Betul apa saya cakap. Ain tu mana pernah jadi orang! Entah dari mana abang pungut. Sudahlah kita berikan makan, minum, tempat tinggal dan pelajaran. Masih tak sedarkan diri tu menumpang! Tak reti berterima kasih,” Cemuh Puan Samsina lagi.
“Sudah, aku cakap sudah Sam!” Tengking Lebai Syakir.
“Sedap mulut kau mengata dia macam tu! Dia tetap ada pertalian darah dengan aku. Kalau kau hina Ain, samalah macam kau menghina suami kau jugak. Faham tu!” Tegas Lebai Syakir.
Kali ini barulah, Puan Samsina terus terdiam. Segalanya sudah dihamburkan keluar. Bertegang urat pasal Ain, memang dia tidakkan menang. Selalu kekalahan mandatori yang dimilikinya.
Lebai Syakir mengambil Ain sebagai anak angkat sejak gadis itu berusia empat puluh hari lagi. Fatimah, ibu kandung Ain sendiri yang menyerahkan kepada Lebai Syakir dan arwah isterinya, Murni. Sebelum itu, Murni mengalami beberapa kali keguguran. Peluang untuk Murni mengandung zuriat Lebai Syakir agak tipis kerana ada komplikasi di dalam rahim. Rahim Murni agak lemah untuk memegang benih Lebai Syakir.
“Abang, kita ambil anak angkat ye. Timah nak serahkan anak bongsu dia pada kita.” Pujuk Murni sungguh-sungguh.
“Awak tak kisah ke pelihara anak orang lain?” Tanya Lebai Syakir dan Murni mengangguk tanda tidak kisah.
“Sayakan tak boleh bagi abang zuriat. Sekurang-kurangnya kalau saya mati, anak tu ada jadi peneman abang.” Sebak dada Lebai Syakir mendengar pengakuan Murni.
Ain, anak bongsu daripada enam orang adik beradik. Kesempitan hidup, memaksa mereka berenam dipisahkan di antara satu sama lain. Sifat tidak bertanggung jawab Osman, ayah kandung Ain, sanggup menggadaikan darah daging sendiri dengan sejumlah wang ringgit. Anak-anak yang lain diserahkan kepada orang-orang berada.
Namun, Fatimah bertindak pantas. Dia tidak mahu Ain yang baru menjenguk dunia jadi mangsa suaminya lagi.
“Timah harap sangat Murni dan Syakir dapat jaga Ain baik-baik. Didik Ain macam anak sendiri!” Mengalir air mata Fatimah ketika menyerahkan zuriat yang dilahirkannya itu.
“Jangan risau. Kami janji akan didik dia ilmu dunia dan akhirat. Dia bakal jadi satu-satunya pengarang jantung dan belaian jiwa kami nanti.” Pipi Ain yang masih bayi dicium dengan penuh kasih sayang.
“Janganlah bersedih, Timah. Kami takkan sia-siakan anak kau ni. Percayalah.” Lebai Syakir meyakinkan Fatimah. Bahu Fatimah masih terhinjut-hinjut menahan sebak. Proses berpantang baru saja selesai. Kini dia terpaksa terima hakikat berpisah dengan zuriat sendiri demi masa depan Ain yang lebih cerah.
“Doktor dah sahkan penyakit aku makin kronik. Aku menanti hari bertemu Ilahi je. Nak berubat mahal-mahal, aku tak mampu. Nasib anak-anak aku yang lain pun, aku tak pasti. Harapkan Osman, faham-faham sajalah.” Fatimah meluahkan rasanya kepada Murni dan Lebai Syakir. Jatuh simpati sungguh pada wanita tabah itu.
“Bersabarlah Timah. Mungkin ini sudah bahagian kau. Bahagian kami belum tahu lagi.” Murni masih memujuk dan menenangkan Fatimah. Teresak-esak Fatimah menangis. Lebai Syakir juga hanya memerhatikan sahaja. Tersentuh juga jiwa lelakinya.
“Walau apapun terjadi, jangan serahkan kembali Ain pada Osman. Janji dengan aku.” Fatimah menggenggam erat jari jemari Murni.
“Jangan risau. Kami sudah pun sediakan segala dokumen untuk mendaftar pengambilan anak angkat. Sekejap lagi, kami dan Osman akan ke pesuruhjaya sumpah dan tanda tangani surat persetujuan pengambilan anak angkat. Nanti kami akan daftarkan terus kepada Jabatan Pendaftaran. Senang untuk urusan kelak, tidak perlu libatkan Osman jika apa-apa terjadi pada kau. Lainlah masa nak nikahkan Ain nanti. Suka atau tak suka, kami tetap kena carikan Osman untuk walikan Ain.” Lebai Syakir meyakinkan Fatimah.
“Percayalah, Timah. Nasib Ain nanti akan lebih baik dan lebih sempurna bersama-sama kami.” Murni dan Fatimah berpelukkan. Fatimah hanya mampu mengiring Ain dengan doa dan harapannya. Doanya semoga mereka berdua bakal bertemu semula di syurga kelak.
“Terima kasih, Murni. Terima kasih, Syakir. Hanya Allah sahaja dapat membalas jasa baik kalian. Didiklah dia jadi wanita yang solehah. Aku izinkan kalau korang perlu pukul dan marah dia atas sebab untuk mendidik.”
Sejujurnya, Ain ditatang bagaikan minyak yang penuh. Setiap kehendaknya, tidak pernah dihampakan. Ain disekolahkan di sekolah kerajaan beraliran agama. Malah sehingga ke peringkat ijazah sarjana muda pun, dia belajar di universiti beraliran agama juga.
Dulu penampilan Ain tidak seperti sekarang. Elok sahaja menutup aurat dengan sempurna. Bertudung labuh dan menjaga pergaulan. Sebaik menjejakkan kaki ke dunia pekerjaan, penampilan Ain terus berubah 360°. Dapat lagi, bidang yang diceburi adalah pemasaran hartanah. Ain mula terdedah sana sini. Baju kurung dan tubuh labuhnya sudah dijadikan alas kaki sahaja.
Naik pekak sudah telinga Lebai Syakir dan Puan Samsina mendengar cacian masyarakat sekeliling. Sudah kering rasanya tangki air liur, mereka berdua bebelkan Ain. Gadis itu masih berkeras hati. Katanya, biar masa yang menentukan ataupun paling tidak pun tunggu dia berlaki.
“Ayah, biarlah orang nak cakap apa. Asalkan Ain tahu jaga maruah sendiri.”
“Perempuan kalau tahu jaga maruah, dia akan tutup aurat. Bukan mengenakan pakaian tidak cukup kain macam ni!” Tegas Lebai Syakir.
“Ayah, ini fesyen. Tak tutup aurat, tak bermakna Ain tak solat. Ain masuk kelab malam, tak bermakna Ain minum arak. Siapa kita nak tentukan hukum? Itu semua kerja Allah s.w.t.” Sesak dada Lebai Syakir berbalah dengan Ain. Ada saja jawapannya.
“Ain pakai macam ni pun sebab tuntutan kerja Ain sebagai pegawai pemasaran. Pelanggan-pelanggan Ain semuanya daripada golongan atasan, ternama dan berbilang bangsa. Ada yang berpangkat Dato’, Tan Sri, anak VVIP dan ramai lagilah. Mereka ni semuanya berminda terbukalah, ayah.” Terang Ain bersungguh-sungguh.
“Tapi dalam Islam, tindakan tidak menghalalkan cara. Ain faham tak!” Lebai Syakir masih tidak putus asa menasihati Ain.
“Ain faham, ayah. Ain dah mengaji dah semua tu!”
“Habis tu. Kenapa Ain nak malukan ayah? Ayah tidak daya lagi nak dengar jiran-jiran mengata. Anak imam berpakaian macam perempuan jalang.”
“Biarlah apa orang nak cakap. Mereka tak bagi kita makanlah, ayah. Masa ayah terlantar dekat hospital dulu, berapa kerat orang-orang yang mengata datang menjenguk ayah. Tolong jaga ayah dekat hospital?” Memang tidak dinafikan Ain yang rajinkan tangan dan tenaga menjaga dia tanpa sebarang rungutan.
“Semuanya Ainkan yang buat. Bukan Ain nak mengungkit kebaikan yang Ain buat. Nak harapkan bini ayah tu, pandai cakap saja.”
Dalam diam memang Lebai Syakir akui, Ain memang anak yang bertanggung jawab. Ain memang pemurah. Tidak pernah lokek hulurkan wang ringgit. Sedangkan dia yang menanggung perbelanjaan kolej Nasseer. Langsung tidak mahu Nasseer terbeban dengan hutang PTPTN.
“Jangan dihina Mak Sam. Macam mana pun dia tetap isteri ayah yang sah dan ibu kandung kepada Nasseer.” Berkaca-kaca mata Lebai Syakir dibuatnya. Sesekali Ain bersuara memang agak bisa dan jujur.
“Ain tak hina Mak Sam, ayah. Ain tahu Ain cuma menumpang dalam rumah ayah. Sebab tu, Ain sibukkan diri dengan kerja dan jarang lekat di rumah. Ain cuma tumpang tidur saja. Itupun pasal hormatkan ayah tak kasih Ain menyewa di luar selagi Ain tak kahwinkan. Ain nak elakkan fitnah dan tak mahu jadi bahan fitnah. Ain sedarlah, ayah dan Ain sah jika bernikah!” Lebai Syakir termati kata-kata.
Lebai Syakir tidak sangka, itu antara punca Ain tidak lekat dekat rumah. Ain memang mentaati Lebai Syakir yang tidak benarkan dia tinggal berasingan kerana wasiat arwah isterinya, Murni.
“Ayah jangan risau. Bila Ain dah bertemu dengan jodoh yang baik. Ain sendiri yang akan keluar rumah ayah dengan cara baik. Ayah doa-doakan Ain bertemu jodoh cepat ye!”
No comments:
Post a Comment