Sunday, 26 November 2017

Penjara Kasihku ~ Bab 2

Penjara Kasihku ~ Bab 2

Tiba saja di halaman Vila Desa, Amir rasa cukup tenang dan santai. Kehijauan persekitaran kampung dan udara segar nyaman, memang bagus untuk kesihatan papanya. Amir tersenyum. Sempat dia regangkan badannya seketika, sebelum melangkah keluar dari keretanya.

Hatinya semakin berdebar-debar. Amir menadah tangan. Berdoa apa yang terlintas di benaknya. Dihembus ke kiri dan kanan. Meniup semangat buat dirinya sendiri. Tangannya pantas mencapai beg galas dan beg kerjanya, sebelum  melangkah masuk ke dalam Vila Desa.

“Assalamualaikum…” Pintu utama Vila Desa dikuak luas. Kasut Pierre Cardin kegemarannya ditanggalkan. Terus disusun rapi di dalam rak kasut berhampiran dengan pintu utama vila itu.

‘Sunyi je? Mana semua orang?’ Desis hati Amir. Tali leher dilonggarkan sedikit. Tentunya lemas, seharian tercekik.

Amir menapak lesu. Sofa empuk di hadapannya seolah-olah memanggil-manggil. Apa yang dijinjingnya tadi, segera dilemparkan bersama di sebelahnya. Berjaya meluruskan pinggang di atas sofa empuk itu, terasa nikmatnya. Mata dipejamkan seketika sambil tangan diletakkan ke dahi.

“Waalaikummussalam.” Datin Masyitah jalan berlenggang sambil membetulkan lengan baju yang dilipat ke siku tadi. Dia bergegas ke ruang tamu apabila sayup-sayup kedengaran suara anak tunggalnya balik kerja dari ceruk dapur.

“Mama…” Terdengar suara mamanya, Amir segera membuka matanya dan bangkit mendakap tubuh mamanya. Bibir mungil Datin Masyitah tersenyum manis. Bersimpati melihat Amir agak keletihan.

"Am, baru balik sayang." Amir mengangguk manja. Tangan kanan Datin Masyitah dikucup lembut. Diraih sekali lagi tubuh mamanya dalam dakapan.

“Nak minum,” tanya Datin Masyitah.

“Nak tapi nanti Am ambil sendiri.” Sekarang pipi gebu wanita itu pula jadi mangsa Amir.
‘Cantiknya!’ Amir memuji kecantikan semulajadi yang dimiliki oleh Datin Masyitah. Sungguh, Amir sentiasa bercita-cita tinggi mendambakan bakal isterinya seorang wanita sesempurna mamanya.

“Fesyen baru ke mama?” Amir mengelilingi tubuh mamanya dan mula membuat penilaian.
Datin Masyitah tergelak bahagia. Amir amat jujur dengan kata hatinya dan agak teliti. Cukup prihatin. Sedikit perubahan padanya tidak pernah terlepas daripada pandangan jejaka itu.

“Maklumlah, isteri solehah!” Puan Masyitah berteka-teki. Tergelak Amir dibuatnya. Fahamlah apa maksud tersirat mamanya.

“Papa tu, mimpi apa pun mama tak tahu? Tiba-tiba suruh mama ubah stail. Mama ikutkan aje. Papa yang melaburkan, mama tolong belanjakan je!”

“Cantiklah, mama. Sesuai sangat. Nyaris-nyaris Am ingat papa ada bini nombor dua tadi!” 
Bahu anak tunggalnya ditampar manja.

“Mengada-ngada! Bodeklah tu.”

Amir menyeringai menahan kesakitan. Boleh tahan juga penampar Datin Masyitah tadi. Perkara paling klise, wanita dan madu. Mahu bersilat mereka mendengarnya. Datin Masyitah masih awet muda walaupun usianya menginjak setengah abad.

“Lewat balik hari ini?” Datin Masyitah mengubah topik. Amir sambut dengan keluhan. 

“Keluar ofis dah awal tapi sampai rumahnya lambat. Ada kemalangan ngeri kat depan sana tadi. Ada lori terbalik.  Tu yang jalan sesak!”  Kali ini, tali leher dilucutkan terus. Amir memang lemas berkot dan bertali leher. Etika kerjakan, terpaksalah dipatuhi. Imej kena dijaga. Jika tidak, bising Dato' Mansor nanti. Amir mengekori mamanya ke dapur.

"Lagipun Am memang tengah sibuk. Alhamdulillah, kita dapat banyak tempahan. Sampai tak menang tangan dibuatnya. Boleh dikatakan, semua cawangan kita fully booked hingga pertengahan tahun depan.”

Datin Masyitah bersyukur Amir mulai fokus kepada kerjanya. Tanda-tanda positif Amir kembali bangkit daripada kelukaan silam. Amir memang warisi bakat ibu bapanya. Jika tidak masakan Rangkaian Hotel M&M kekal unggul sebagai hotel bercirikan Islamik sejak 20 tahun dulu.

“Apa kata Am pinta papa bagi pembantu, dalam dua ke tiga orang ke untuk bantu Am?” Cadang Puan Masyitah.

Amir menggeleng laju. Sempat dia meneguk segelas jus oren yang baru digapainya tadi dalam peti sejuk sebelum jawab cadangan mamanya.

“Tak berani Am, mama. Buatnya papa ceramahkan Am, cair tahi telinga ni tau.”
 Tergelak lepas Datin Masyitah dibuatnya.

“Papa susah nak percayakan orang luar. Mama pun tahukan! Am tak rasa tu idea yang terbaik buat masa sekarang. Lagipun Am kena buktikan pada papa yang Am mampu uruskan hotel kita dengan baik.” Amir amat patuh dengan ketegasan suaminya. Sekali imbas, sikap yang dimiliki Amir sekarang, juga diwarisi sepenuhnya daripada Dato’ Mansor.

“Terpulanglah pada Am. Mama cadangkan je.”

Amir mencium pipi gebu milik mamanya sekali lagi.

“Tak apalah mama. Biasalah penat sikit-sikit. Amkan muda lagi. Mama, jangan risau ye. Haryati dan Nadiakan ada, bantu Am!”

Amir lebih selesa berkongsi segala cerita dengan Puan Masyitah. Jika dengan Dato’ Mansor, Amir tak ubah persis burung belatuk. Langsung tidak berani membantah. Memang Amir cukup menghormati ketua keluarganya itu.

“Lega sikit mama kalau Am cakap begitu. Lambat-laun hotel tu tetap jadi hak milik Am jugakan.  Tak salah, jika Am bekerja keras mulai sekarang.” Bahu Amir ditepuk-tepuk lembut. Memujuk anak kesayangannya.

“Maafkan mama tak sempat membantu ye. Mana nak jaga papa, ulang-alik ke hospital untuk teruskan rawatan papa lagi. Yayasan M&M pun perlukan perhatian. Hal ehwal hotel, dapat jeling-jeling je!” 

“Am faham. Mama kena tumpukan pada papa. Hotel biar Am uruskan sepenuhnya.” Lagipun memang tanggung jawab seorang isteri lebih tertumpu kepada suaminya dahulukan.

“Papa dah patut pencen. Serahkan pada Am buat semua tapi nak buat macam manakan!”  Amir mengeluh dan cuba melahirkan rasa terkilannya.

Suka atau tidak, Amir tetap di tangga ketiga senarai orang penting dalam Rangkaian Hotel M&M. Papa dan mama masih kekal sebagai pemegang saham terbesar. Cuma Datin Masyitah lebih sibuk menguruskan Yayasan M&M yang dinaunginya.

Memang ada rasa kecil hati dengan Dato’ Mansor. Papanya masih belum ada tanda-tanda untuk serahkan kuasa sepenuhnya kepada Amir. Berjawatan CEO tapi masih makan gaji dengan syarikat keluarga sendiri. Amir mendambakan penghormatan yang lebih baik. Entah apa yang mengekang Dato’ Mansor, Amir tidak pasti.

"Kami nak minum petang kat taman. Jom sekali!” Suara Datin Masyitah tadi, menyedarkan Amir daripada lamunan. Dia segera mengangguk tanda setuju.

“Am nak solat Asar kejap. Nanti Am datang semula ye, mama.” Pantas Amir berlalu ke dalam bilik bersama-sama barang peribadinya tadi.

Datin Masyitah menatang dulang minuman petang ke taman. Sekejap lagi boleh dijemput suaminya ke taman pula. Memang aktiviti rutin mereka bersekeluarga bersantai di situ setiap petang.

No comments:

Post a Comment