Thursday, 9 November 2017

Bab 2 - Sah, Aku Milik Dia!


Aku terpinga-pinga, baru sedar daripada pengsan. Nampaknya Raihan seperti resah gelisah, risaukan aku yang tiba-tiba tumbang. Prihatinnya Raihan kepada aku buatkan jiwa keperempuanan ini tersentuh.

"Awak okay tak?" Raihan bertanya. Tapi aku yang masih lemah, mengangguk lesu saja.

Imam dan orang-orang masjid masing-masing masih berada di ruang tamu nampaknya. Buatkan hati aku tidak keruan. Aku tahu ayah tidak melawak dalam bab-bab nikah ini.

"Macam mana imam? Saya sebagai wali kepada anak perempuan saya Shimah, tetap nak nikahkan dia dan pemuda ini malam ni jugak!" Tegas Encik Haikal.

"Encik Haikal, memanglah sebagai wali sah encik layak. Tapi Malaysia ada undang-undang syariahnya. Nak kena buat pemeriksaan HIV dan kursus kahwin contohnya!" Penerangan imam kepada Encik Haikal satu per satu.

"Jangan pulak nak bernikah macam orang kena tangkap khalwat pulak!" Tambah imam lagi.

"Tapi maruah kami sekeluarga hampir tercemar bila pemuda ini sudah menyentuh anak dara saya, imam!" Encik Haikal tak mahu kalah.

“Bersabar dulu Encik Haikal. Kita perlukan saksi yang waras dan cukup hukum syarak untuk buktikan hal ni. Saksi yang boleh menilai dengan sewajarnya,” Tok imam cuba menasihatkan Encik Haikal dan cuba memujuk supaya bertenang.

"Betul tu ayah, semuanya fitnah. Gambar tu tak menerangkan situasi yang sebenar. Masa tu tumit kasut saya patah. Raihan membantu saya untuk bangun semula. Keadaan tidak sengaja dan berlaku dengan pantas. Tu je!"

Entah bila aku sudah bangun dan berpaut pada tangan ayah, aku tidak pasti. Sungguh-sungguh aku pohon budi bicara ayah. Laju berderaian air mata tanpa dipinta sesiapa. Aku tak mahu masa depan aku gelap gelita. Raihan entahkan sesiapa, aku sendiri tidak tahu. Menyesal keluar dengan Raihan, sudah tidak berguna lagi.

Encik Haikal menggeleng, menidakkan kata-kata aku. Hatinya tertutup untuk menerima penjelasan aku lagi. Dia cukup tertekan lantaran bertalu-talu diapikan oleh isterinya sepanjang perjalanan pulang dari Kuantan tadi.

"Sampai hati ayah, percayakan gambar berbanding anak kandung sendiri. Raihan pun saya tak kenal sangat. Macam mana nak kahwin?" Aku terduduk. Kaki ayah aku peluk. Jika perlu kakinya aku ciumpun aku sanggup, asalkan aku tidak dikahwinkan malam ini.

"Hey, tipulah tak kenal. Aku tengok elok saja mesra berdua dalam gambar tu." Mak uda seperti biasa menambah perisa. Aku tahu dia takkan putus asa meracuni fikiran ayah.

"Ini mesti rancangan mak udakan. Nak singkirkan saya cepat-cepat daripada rumah ini. Senanglah mak uda bolot semua harta ayahkan!" Aku sudah naik berang dan bengang.

Belum sempat aku menyambung kata-kata lagi, sekali lagi penampar hinggap ke pipiku. Sakitnya ditampar buat kali kedua dengan ayah aku sendiri.

"Encik Haikal dan semua, maaf saya nak mencelah. Saya pun mangsa keadaan sekarang ni. Tak adil kalau kalian terus adili kami begini. Saya pun ada ibu bapa. Saya kena berbincang dan dapatkan restu daripada mereka dulu." Raihan sudah berdiri untuk curi perhatian. Merah menyala pipi aku diperhatikan. Raihan merapati aku.

"Encik Haikal, izinkan saya dan Shimah berbincang sekejap. Masa yang sama saya perlu telefon ibu bapa saya dulu. Saya nak berbincang dengan mereka. Apa-apapun saya tak boleh membelakangi mereka berdua.”

Bicara Raihan cukup sopan dan berhemah. Aku jadi terkedu bagaimana dia boleh tenang di saat aku sedang kalut. Bagaikan menanti hukuman penjara seumur hidup bersuamikan Raihan tanpa sebarang pengadilan yang saksama.

"Ibu bapa kamu kat mana? Suruh mereka datang ke sini sekarang." Encik Haikal terus mengarah.

"Maaf, ibu bapa saya ada di luar negara. Mereka memang bermastautin di sana. Saya di sini sorang diri. Izinkan saya..." Sekali lagi, Raihan meminta izin. Lalu Encik Haikal mengangguk. Isyarat mata ayah mengarahkan agar aku membuntuti Raihan menuju di gazebo sebelah kolam renang.

Sebaik aku melabuhkan punggung di lantai gazebo, Raihan terus bertanya.

"Awak nak kahwin dengan saya? Saya buntu sangat sekarang ni. Ini melibatkan masa depan kita tau." Tegas Raihan. Aku masih berdiam diri. Otak aku kosong. Cuma nampak satu jalan sahaja. Kahwin dengan Raihan seperti dipinta ayahku.

"Entah-entah, ini satu perangkap. Sama ada ataupun sememangnya dirancang oleh seseorang yang membenci awak. Malangnya saya jadi mangsanya. Saya memang buntu sangat ni." Sekali lagi, Raihan menyebut perkataan buntu.

"Saya tak tahu dan tak pasti. Saya tak kenal awak sangat. Kita keluar pun pasal blind date diaturkan oleh seseorang. Dua jam bersama dengan awak, berapa banyak sangat saya boleh kenal sikap awak?" Giliran aku pula bersuara.

"Mungkin awak yang cuba nak perangkap saya. Sebab saya cantik!" Aku buat lawak bodoh pulak.

"Serius sikit boleh tak?" Raihan tegaskan suaranya. Geram aku buat perangai. Aku tidak sengaja, sekadar hendak hilangkan rasa walang sekejap.

"Lagipun awak masih belajar lagi. Sama jugak saya, belajar lagi." Aku mengeluh dalam-dalam lagi. Wajah Raihan yang keruh aku renung. Dia masih tidak bercakap, mungkin otaknya ligat berfikir.

"Tapi saya tahu ayah takkan lepaskan kita semudah itu. Saya risau, awak akan diapa-apakan. Saya juga risau keselamatan diri saya." Kali ini, kata-kata Raihan ada benarnya. Aku memang resah sekarang. Pasal aku kenal sangat sikap ayah yang kepala batu dan tegas itu.

"Awak rasa ayah sampai hati ke? Takkan ayah awak sanggup nak bunuh atau cederakan saya!" Raihan masih berbelah bahagi dan sedapkan hati. Peratus keyakinan dia tak mungkin diapa-apakan, semakin naik grafnya.

"Bunuh mungkin tak. Cederakan awak mungkin ya." Memang itu yang aku rasa dan aku memang pasti itu yang bakal terjadi.

Aku kenal dengan ketegasan ayah aku sendiri. Selama ini, aku memang dilarang mendekati lelaki luar tanpa sebab. Entah kenapa, kali ini aku terlalai.

"Baiklah!" Tiba-tiba Raihan berdiri tegak, seperti mendapat semangat baharu.

"Saya dah bagi peluang untuk awak selamatkan diri, awak enggan. Awak rela perjudikan diri dan masa depan di tangan saya. Nanti jangan menyesal pula. Sebab awak perempuan, tiada jalan patah balik." Sinisnya kata-kata Raihan. Aku semakin cuak.

"Kau kena ingat tau sebab awak punca masa depan saya berubah. Saya lelaki boleh kahwin empat tapi awak kekal sampai mati akan jadi isteri saya. Nak merayu ceraikan awak nanti, mungkin tak. Saya takkan ceraikan awak walaupun apa terjadi. Faham!" Raihan sengaja buat aku gentar. Renungannya kali ini makin tajam. Sedikit menggerunkan hatiku.

"Saya serahkan segalanya kepada takdir Allah. Jika awak jodoh saya, saya pasrah. Dalam keadaan sekarang, membantah kata-kata ayah bukan jalan terbaik." Aku menunduk sambil bermain jari jemari.

Entah? Iya atau tidak aku benar-benar pasrah. Namun kata-kata Raihan tadi, meninggalkan kesan yang mendalam. Belum lafaz nikah lagi, sudah diugut bakal punyai madu lagi tiga orang.

"Baiklah. Saya akan buat awak menyesal bersuamikan saya." Raihan menekankan lagi kata-katanya. Memang dia mahukan aku berubah fikiran agaknya. Lama dia tenung ke wajah aku. Aku mengeluh lelah yang panjang. Aku tidak nampak jalan lain selain terpaksa nikah dengan Raihan.

"Tapi saya rasa sebaliknya." Aku sergah dia dengan sedikit keyakinan yang nipis. Aku marahkan diri sendiri, konon-kononnya yakinlah sangat.

'Gila apa yang merasuk kau ni, Shimah?' Aku tersenyum kelat.

"Awak rasa apa?" Tanya Raihan semula.

"Saya tahu awak baik. Raihan itukan bunga syurga dan Irsyad pula nasihat, panduan dan petunjuk. Saya yakin awak akan bimbing saya ke jalan syurga. Amin." Aku berbicara tanpa gentar, walaupun jiwa ini berkecamuk.

"Jangan bermimpilah." Raihan tergelak besar dengar idealogi aku tadi. Menggeleng dia beberapa kali. Akhirnya dia mundar-mundir di hadapan aku. Aku biarkan sahaja.

Sedangkan aku, gila agaknya bersetuju bersuamikan Raihan Irsyad. Entahlah, sesak dada memikirnya.

No comments:

Post a Comment