Monday, 27 November 2017

Penjara Kasihku~Bab 3

Penjara Kasihku ~ Bab 3

"Papa… “ Amir bersalaman dengan Dato’ Mansor.

“Dah sihat ke?” Dikucupnya dahi lelaki separuh umur itu.

“Papa dah makan ubat?" Belum sempat Dato’ Mansor menjawab soalan tadi, Amir hujani dia dengan soalan lain lagi. Dato’ Mansor mengangguk dan tersenyum.

"Alhamdullillah, papa semakin sihat. Tengoklah sapa jururawat papa. Terbaik punya!" Sempat Dato’ Mansor mengusik sambil menunjukkan gaya tangan bagus kepada Datin Masyitah. Tergelak sakan, tiga beranak itu. Lega Amir bila melihat papanya kembali ceria dan bertenaga. Dia sering berdoa agar papanya cepat sembuh.

"Papa, Am ada hal nak cakap ni?" Amir mula mengurut lembut bahu Dato' Mansor. Gaya seperti membodek nampaknya.

"Tanya jelah! Sejak bila pula nak kena minta izin ni," sampuk mamanya. Memang dia terperasan sejak balik pejabat tadi, Amir banyak menyelamun.

"Am rasa Am dah sedia nak ambil alih pentadbiran dan pengurusan hotel kita sepenuhnya!” Kata-kata Amir terhenti, apabila cerlung ibu bapanya merenung ke wajahnya.

"Jadi?” Tegas papanya pendek.

Nampaknya jerat mereka mengena juga. Memang dah lama mereka berdua tunggu Amir buka mulut bertanyakan sendiri hal ini. Sengaja ditangguh-tangguhkan peralihan kuasa itu. 

“Bila papa dan mama nak bagi hak Am?” Sunyi seketika suasana di situ. Bagaikan malaikat lalu. Tinggal bunyi-bunyian desiran pepohonan hijau di sekitar Vila Desa saja mereka dengari.

Hendak buka mulut lagi Amir tak berani. Amir tertunduk ke tanah, sabar menanti balasan ibu bapanya buka mulut.

"Am tak layak lagi nak ambil alih!”

Melopong mulut Amir mendengar respons negatif papanya itu.

"Mana tak adil, papa. Am dah buktikan kemampuan Amkan. Apa lagi yang tak cukup ni?” Amir meluahkan perasan tak puas hatinya. Cuba dikawal nada suaranya agak tidak tinggi.

"Kahwin!” Ibu bapa menegaskannya serentak.

Bagaikan halilintar, menikam ke dalam sanubari Amir. Tidak terlintas pun persoalan ‘kahwin’ yang mendorong mereka berdua tangguh-tangguhkan pemindahan hak milik hotel itu.
“Kenapa dengan kahwin? Am tak faham!” Amir mahukan penjelasan.

“Umur Am dah berapa sekarang? Masih tak nak fikirkan masa depan dan kebahagiaan Am sendiri. Am wajib kahwin dan baharulah harta benda, kami akan diwarisi kepada Am."

"Lawaklah, papa ni! Macam mana Am nak kahwin sedangkan calonnya pun Am tak ada?” Amir tergelak mendengar kata-kata papanya.

Sejak dikecewakan, persoalan kahwin jatuh perkara terakhir dalam hidupnya. Fokusnya hanya tertumpu pada kebajikan ibu bapanya dan Rangkaian Hotel M&M semata-mata. Hotel berkonsepkan Islamik dan halal pertama di Malaysia. Ada lebih 40 cawangan seluruh Malaysia termasuklah Sarawak, Sabah, Brunei dan Dubai.

“Am dah dewasa. Am berhak bahagia. Am kena beri peluang kedua pada diri sendiri. Mulakan hidup baharu, kahwin dan kecapi kebahagiaan seperti orang lain!” Ujar Dato’ Mansor.

“Am lebih selesa dan bahagia sekarang. Kahwin dah tak penting lagi dalam hidup Am. Ada papa dan mama dalam hidup pun dah cukup berikan kebahagianan!” Tegas Amir sambil tertunduk. Dia alihkan pandangan melihat emut-semut hitam yang melintas di hadapannya.

“Apa buktinya Am bahagia? Kita manusia. Dah ditetapkan hidup berpasang-pasangan dan Am tidak boleh menidakkannya. Siapa kita nak lawan fitrah kehidupan?”
Amir mengeluh. Memang diakui, kata-kata papanya memang ada kebenaran.

“Sungguh, tak terlintas hal kahwin ni. Maknanya kalau Am tak kahwin, sampai bila-bilalah Am tak dapat warisi harta benda mama dan papa. Gitu?” Amir masih tidak berpuas hati.

"Yup, kami anggap saja Am tidak berminat!”

“Mana boleh buat Am begini! Tak adil untuk Am! Masa depan Am!" Amir protes.

"Kenapa tak boleh? Itu hak kami, harta kami. Permintaan papa dan mama, nak tengok Am sempurnakan kehidupan Am dulu. Kahwin, punyai zuriat dan teruskan pewarisan hotel kita.” Tegas papa lagi.

“Kami dah buat keputusan Am, Am tak kahwin tak ada harta untuk Am. Kalau Am masih berdegil, kami rela wakafkan harta benda kami kepada Baitulmal dan anak-anak yatim. Dapat juga kami saham akhirat. Pandai-pandailah Am nak hidup bila kami tiada lagi nanti!” Dato’ Mansor begitu bertegas. Amir pandang ke wajah Datin Masyitah, namun mamanya hanya berdiam diri.

“Macamana nak kahwin, Am memang tak ada calon!” Sesak dada dibuatnya. Memang dia tak pernah hidup susah. Permintaan mendadak ibu bapanya buatkan dia terjerat kali ini.

“Keputusan muktamad. Am mesti kahwin, hidup bahagia dan warisi harta kami. Mudahkan!” Tegas Dato’ Mansor.

Amir menarik nafas dalam-dalam. Fikirannya terlalu tepu, dipandang wajah ibu bapanya silih berganti. Memang Dato’ Mansor, bila hitam katanya, maka hitamlah. Papanya itu takkan beralah. Ketegasan papanya memang tidak boleh disangkal lagi.

“Am, fikir baik-baik dan pertimbangkan. Jangan jadi hipokrit. Fikirkan masa depan Am!" Dato’ Mansor sengaja menekan hasratnya. Namun kali ini nadanya tidak sekeras tadi. Dia tidak mahu Amir Mazlan terus hanyut dalam dunia ciptaannya sendiri. Hidup dalam kesunyian dan sepi, namun degil menafikannya.

"Baiklah. Nanti kita bincang lagi okay!” Amir cium tangan ibu bapanya. Dia mahu segera angkat kaki. Panas punggungnya, duduk lama-lama di situ.

“Amir Mazlan!” Amir terus menoleh bila terdengar namanya dipanggil.

“Jangan lama sangat. Peguam papa dah nasihatkan papa selesai hal wasiat harta ni cepat. Papa pun semakin uzur. Selagi papa bernyawa segala urusan lebih mudah. Jika papa dah mati, susah! Banyak isu bakal timbul. Am kena ingat, ramai yang sudah mengintai potensi hotel kita untuk dibeli.”

“Am faham.” Amir berlari masuk ke perut rumah dan menghilang dari pandangan mereka berdua. 

“Abang, tak tengok ke Am tertekan sangat tu? Keras sangat ke kita dengan dia?” Datin Masyitah serba salah.

“Abang yakin kita akan berjaya kali ini?” Tanya Datin Masyitah lagi.

“Yakin 200%. Harta, mustahil dia tak nak. Anak tunggal awak, pernah ke hidup susah?” Dato’ Mansor meyakinkan isterinya.

“Dia dah matang. Tahu menilai buruk dan baiknya. Kita sebagai ibu bapa, doakan yang baik-baik saja. Kita dah bagi jalan, tepuk dada tanyalah hati.”

“Baiklah abang. Saya ikut je mana yang baik.” Datin Masyitah mengalah.
Mereka terus menikmati keindahan suasana petang sementara menantikan matahari terbenam dan azan Maghrib berkumandangan.

No comments:

Post a Comment