Tuesday, 21 November 2017

Sulitkah Untuk Bahagia? ~ Bab 2


Bab 2 ~ Gelora Hati & Syak Wasangka

Zaf tak jadi membawa Ain terus pulang. Keretanya dipandu terus mendaki ke puncak bukit berhampiran dengan taman perumahan mereka berdua tinggal. Zaf memberhentikan keretanya di situ. Ain masih terlena di sebelahnya direnung lama. Wajah Ain dipandang kosong.
‘Nyenyaknya dia.’ Desis hati Zaf.
Zaf meneguk air liur. Terpamer wayang percuma di hadapan mata, pangkal peha gebu dan putih melepak itu. Mujur Ain berseluar pendek. Jika pakai skirt pendek, makin tersingkap agaknya. Silap-silap nampak wayang percuma lagi di bahagian bawah.
Tangan Zaf mulai gatal dan hampir menyentuh kulit Ain. Mujur dia cepat tersedar. Dikesat peluh jantan yang menitis di dahinya. Bertegar tulang rusuk kirinya, melihat ‘rezeki’ di hadapan mata. Bergegas jantungnya, rentak degupan juga tidak sekata. Nafasnya turun naik menahan nafsu yang mulai terganggu.
Haruman yang dipakai Ain sungguh buatkan dia resah. Menegang seluruh badannya, menahan rasa. Cepat-cepat Zaf beristifar.  
Zaf melepaskan keluhan kasar. Daun pintu keretanya digapai dan dipulas pembuka pintu. Segera dia keluar dari kereta. Sebelum setan dilaknati Allah terus-terusan menggodanya, baik dia jauhi dan kawal diri dahulu. Tidak rela jadi penebuk tupai seorang gadis.
Zaf duduk di atas hud keretanya. Rambutnya diraup ke belakang.
“Betul ke aku nak pinang Ain ni?” Tiba-tiba hati Zaf terasa berbelah bahagi. Tadi bukan main lagi teruja. Sekarang dia berkira-kira pula. Persis lalang pun ada sekarang ni.
“Nak bentuk Ain jadi isteri solehah, payah jugak tapi tak mustahil. Aku sendiri pun bukanlah baik sangat.” Pengakuan Zaf kepada dirinya sendiri.
Perasaan simpati terhadap Ain agak tebal. Bukan dia tidak tahu penderitaan yang gadis itu alami. Setiap rahsia Ain, sememangnya kemas tersimpan di dalam poket Zaf.   Gadis itu memang tidak boleh lari daripadanya. Petik jari saja, Ain boleh melutut padanya.
Bukan sekali dua, Zaf menolong Ain dan menyelamatkan gadis itu daripada dimaki hamun oleh Mak Sam terutamanya. Kadang-kala sikap memberontak Ain ditunjukkan semata-mata untuk protes kepada keluarga angkatnya.
Namun positifnya, Ain seorang gadis yang kuat semangat dan berdikari. Dia juga bercita-cita tinggi. Jika tidak, mana mungkin gadis itu berjaya sebagai Penolong Pengarah Pemasaran di salah semua syarikat hartanah terkemuka di ibu kota. Bergaji besar, tidak termasuk dengan komisen jualan hartanah lagi.
Duit yang teballah yang buatkan Mak Sam kadang-kala terpaksa kunci mulut. Semuanya Ain yang tanggung. Ain tetap tahu jadi manusia yang membalas budi orang yang telah membesarkan dia dari kecil hingga dewasa dan cantik. Seperti sekarang ini.
Jam di pergelangan Zaf dipandang sekilas.
“Lewat dah ni. Mengamuk pula Lebai Syakir nanti.”
Terus wajah ketat Lebai Syakir terimbas di benak Zaf. Kali pertama, Lebai Syakir naik berang. Mana tidaknya, secara depan-depan penduduk Taman Megah mengata dan mengumpat sikap Ain di masjid malam tadi.
"Lebai, kami rasa tak usahlah jadi imam dekat taman kita ni lagi...!" Tengking Fuad kepada Lebai Syakir. Tergamam Lebai Syakir dibuatnya, sehingga terpaksa diurut dadanya.
"Ya Allah, sampai hati kau Fuad! Apa salah aku? Salah ke aku nak berkongsi ilmu yang aku ada dengan masyarakat setempat?” Tanya Lebai Syakir mahukan kepastian.
"Ilmu konon. Cuba lebai cerminkan diri tu. Anak lebai bukannya ramai, ada dua orang je. Nasseer, anak kandung lebai tu, nasib baik masuk sekolah tahfiz. Nampaklah baik dan bagus akhlaknya. Anak angkat perempuan lebai tu, siapa ye namanya? Hah, Ain!”
“Ye, Ain. Kenapa dengan dia?” Kata-kata Fuad, segera dipintas Lebai Syakir.
“Dahlah anak angkat lebaikan. Bukan main seksi lagi. Terdedah atas bawah. Lepas tu, duduk serumah pulak dengan lebai. Bukan mahram lebaipun kan! Batal air wuduk lebai dengan Ain tu. Dah macam bersedudukkan dalam rumah pulak!” Nasseer yang berdiri di sebelah ayahnya, mengurut belakang lelaki itu. Risau jika ayahnya terkena serangan jantung nanti.
"Abang Fuad cakap apa ni? Jangan tuduh sembarangan tanpa bukti. Nak tuduh ayah saya bersedudukan dengan Kak Ain? Besar fitnah tu. Bila masa pula ayah saya tinggal berdua-duaan je dalam rumah?" Nasseer membela maruah ayahnya.
"Eh, manalah aku tahu. Aku bukan jadi jaga di rumah kau berdua. Aku buat andaian saja. Tapi tak betul ke apa yang aku cakap tadi. Kebarangkaliannya tetap besarkan.”
"Maaflah lebai, kalau cara penyampaian Fuad tu agak kasar. Tapi hukum tetap hukum. Tak manis dipandang orang dan salah di sisi agama. Lagipun boleh jatuh fitnah. Kami ni sayangkan dan amat hormati lebai dekat kawasan ni. Buatlah sesuatu. Kahwinkan si Ain tu secepat mungkin. Dia pun semakin liarkan sekarang ni!" Pengerusi Rukun Tetangga Taman Megah, Tuan Razak terus menyampuk perbincangan tak disengajakan itu.
"Anak gadis, balik rumah tengah-tengah malam. Lebai fikirkanlah, cadangan saya tadi.  Penting untuk menjaga nama baik lebai juga!" Tuan Razak menekankan lagi cadangannya.

"Assalamualaikum, Zaf." Terhapus khayalan Zaf apabila terdengar seseorang memanggil namanya. Tangannya segera menghalang suluhan lampu picit yang ditala tepat ke wajahnya. Terus Zaf terdiri berdiri di hadapan beberapa orang lelaki di hadapannya
"Tuan Razak!" Salam tadi dijawab dalam hati. Hatinya berdebar-debar, terasa darah mengalir keluar dari tubuhnya. Wajah Zaf mulai pucat lesi. Tuan Razak dan Zaf bersalaman, begitu juga diikuti dengan beberapa orang lelaki lain.
Salah seorang dari mereka menyuluh ke dalam kereta Zaf pula. Apabila terpandang Ain yang elok lagi dibuat lena, mereka menggelengkan kepala dan berbisik ke telinga Tuan Razak. Zaf mulai rasa tidak sedap hati.
"Apa kamu berdua buat apa dekat tempat sunyi begini?" Tanya Tuan Razak.
"Sa, saya... ." Zaf tiba-tiba tergagap pula.
"Sudahlah. Kita cerita saja dekat rumah Lebai nanti!" Tuan Razak terus memintas kata-kata Zaf.
“Tapi kami tak buat apa-apa pun!” Zaf kembali lancar dengan kata-katanya.
“Berdua-duaan dekat tempat sunyi boleh mendatangkan fitnah, Zaf. Saya tak suka ada maksiat berlaku di kawasan ni.” Tegas Tuan Razak.
“Mana ada kami buat apa-apa! Saya kat luar, dia dekat dalam kereta.” Zaf seakan mahu naik angin. Tapi dia masih mengawal tingkah dan emosinya.
“Dah, jom. Kita pergi ke rumah Lebai Syakir sekarang!” Tuan Razak dan seorang lagi jiran mereka turut naik kereta Zaf bersama-sama. Beberapa jiran lain menaiki motorsikal secara berasingan. Zaf dalam keadaan serba salah hanya menurut saja.
‘Ya Allah, Zaf. Jauh sangat fikiran kau melayang. Sampaikan bunyi motosikal punya bising pun kau tak perasan,” Desis hati Zaf memarahi dirinya sendiri.
Zaf jatuhkan pandangan Ain yang masih lena di sebelahnya. Entah kenapa tiba-tiba dia jatuh kasihan kepada gadis itu. Ain tidak bersalah. Dia tidak berniat pun untuk berbuat serong. Tak sangka tindakannya untuk biarkan gadis itu stabil dahulu sebelum dihantar pulang ke rumah, bakal mengundang musibah yang lebih besar.
Pasti Ain akan dimarahi teruk dengan Lebai Syakir nanti. Mak Sam tentu gunakan peluang keemasan ini untuk mencucuk dan menjatuhkan hukuman berat kepada Ain.
Walau apa pun yang bakal terjadi, Ain tetap dihormatinya sebagai kawan karib. Zaf juga seorang yang Ain rapat dan disenangi gadis itu. Hati Zaf tidak putus-putus berdoa, agar tidak ada perkara yang buruk bakal terjadi kepada mereka berdua.

No comments:

Post a Comment