Saturday, 18 November 2017
Cerpen - Tiada Lagi Raya Untuknya
TIADA LAGI RAYA UNTUKNYA
Sekian lama aku tinggalkan kampung halamanku. Tidak pernah sekalipun aku menjenguk muka. Kali terakhir barangkali ketika emak menutup mata. Bukan apa, lantaran kecewa. Lantaran nestapa melanda jiwa. Aku sukar menghadamkan sebuah kepermergian, insan yang amat ku cintai, amat ku sayangi dunia dan akhirat. Emak yang mengandungkanku sembilan bulan dan sepuluh hari itu.
Aku bawakan rajuk dan lara di hati. Merantau ke dunia asing yang tidak pernah aku terokai selama ini. Manakan tidak sedikitpun aku tidak pernah berenggang dengan ibu bapaku. Mereka memanjakan dan menuruti segala kehendakku. Selagi kederat mereka dikandung badan.
Teringat suatu ketika, aku dan abah tiba di Kedai Kasut Bata. Abah meminta aku memilih kasut raya yang aku sukai. Lebih kurang setengah jam memilih, lantaran dek rambang mata. Akhirnya aku terkesima di hadapan sebuah kasut yang berharga RM29.90. Aku merengek dekat abah mahukan kasut itu. Walaupun dalam hati abah, peruntukkan untuk aku beli kasut hanyalah RM25.00. Kasih seorang abah, dibelikan jua untuk aku. Aku gembira terlonjak-lonjak dan kucup pipi abah.
Langit tidak selalunya cerah. Kasut yang kuidamkan disamun penagih dadah. Kasut pada waktu itu disimpan dan diikat di dalam bakul motosikal. Manalah boleh diduga, kasut idamanku hilang pula. Aku menangis berhentak kaki. Orang lalu-lalang tidak aku hiraukan. Merona kemerahan wajah abah menahan malu anak gadisnya meroyan merajuk akan kehilangan kasut idamannya. Beristifar dalam hati, hendak marahpun bulan Ramadan. Siapa sangka kasut tidak berkaki boleh berlari.
Abah pujuk aku. Abah cakap duit dia tidak duit sekarang. Minggu depan kita pergi lagi ke Kedai Kasut Bata. Abah toreh getah dulu kumpulkan duit untuk beli semula kasut baharu. Kalau ada rezeki kata abah, jika kasut yang sama coraknya tidak habis lagi, dapatlah aku merasa pakai kasut yang sama. Jika tidak, aku kena pasrah dengan takdir Allah. Aku terpujuk kerana kasihan abah. Bukan salah abahpun kasut itu. Aku minta maaf pada abah. Aku dakap dia sebab aku sayangkan dia.
Minggu depannya abah tunaikan janjinya. Kali ini abah pergi beli sendiri kasut idamanku. Syukur masih ada stok yang sama. Merasalah aku beraya dengan kasut yang sebenarnya blink, blink coraknya. Aku gembira dan sangat gembira. Sampaikan tidurpun, kasut itu aku peluk. Terdekah-dekah abah gelakkan aku. Lantaran kelakar katanya. Manakan tidak, aku sayangkan kasut itu. Tak mahu dia hilang buat kali kedua. Kasihan abah hendak menoreh cari duit lagi belikan aku kasut baharu.
Aku melangkah lesu tuju ke pintu utama. Ada kelibat seorang wanita mendapatkan aku.
"Terima kasih kerana balik jenguk abah. Dia terlalu rindu." Mak tiri aku bersuara.
Sempat aku melihat, sekujur tubuh terlantar kaku. Turun naik nafasnya. Aku letakkan beg galasku di tepi katil tempat abah berbaring.
'Ya Allah, rindunya aku pada sekujur tubuh yang dahulunya gagah dan tegap. Kacak dan tinggi orangnya. Akibat sakit tua memamah diri, kurusnya dirimu. Melidi diri.' Air mata tidak tertahan lagi. Kasihan dia tanggung penderitaan. Deritakan sakit dan deritakan kerinduan tidak bertepian pada anak kesayangannya. Mujur aku sempat berdepan dengan wajah kusamnya, mujur aku tidak jadi anak derhaka.
"Abah maafkan adik merajuk terlalu lama. Adik rindu sangat pada abah. Adik janji adik akan jaga abah selepas ini. Adik takkan pergi lagi. Adik janji dan adik minta maaf." Aku kucup dahinya lama-lama. Aku kucup belakang tangan kanannya. Aku terpesona pabila wajah kusam itu tersenyum nipis.
"Abah sangatkan adik. Abah dah maafkan adik. Tapi abah sakit. Abah tidak larat nak belikan kasut raya adik lagi. Macam dulu-dulu." Abah tersenyum. Dalam kesakitan boleh lagi abah buat lawak.
"Abah ni, adik dah boleh beli sendirilah. Tak perlu bonceng motosikal dengan abah lagi. Adik dah siappun belikan baju sedondon untuk raya ni. Buat abah dan mak tiri sekali. Kita raya sama ye." Abah angguk lesu. Aku lihat ada linangan air mata di pipinya. Bibirnya menggumam sesuatu. Kedengaran kalimah syahadah lancar dilafazkan walaupun agak perlahan diungkapkan satu persatu. Apakah itu tanda noktah abah dengan aku.
'Ya Allah. Janganlah kau ambil dia daripada aku.' Perlahan-lahan genggaman tangannya melonggar. Aku beranikan diri renung wajah lesunya. Matanya sudah terkatup rapat. Aku dengari nafasnya, ku lekapkan telinga ke dadanya. Sepi dan sunyi. Terasa ada tangan yang memegang bahuku. Aku palingkan wajah pandang pada wajah mak tiri aku. Dia menggelengkan kepalanya tanda abah sudah hembuskan nafas terakhirnya menghadap Ilahi.
Aku pasrahkan kehilangan insan yang kusayangi selepas emak. Aku uruskan pengkebumian jenazahnya sehingga selesai.
"Adik, nanti adik tengoklah dalam almari baju ya. Abah ada tinggalkan sesuatu untuk Adik." Kata mak tiriku menahan sebak.
Aku buka daun pintu almari itu perlahan-lahan. Ada tersimpan elok lima buah kotak kasut, bersamaan lima tahun juga aku merajuk diri. Setiapnya terselit satu resit pembelian yang agak kabur tulisannya. Aku tidak mampu menahan sebak. Memang benar aku tidak putus kirimkan wang saku untuk perbelanjaan abah. Namun ada satu nota yang paling meruntun hati aku membacanya.
ABAH RINDUKAN ADIK. JIKA ABAH TAK MAMPU TATAP WAJAH ADIK SEBELUM AJAL, MOGA KASUT-KASUT INI BOLEH TERUS UBATI RINDU ADIK PADA ABAH. SAYANG ANAK ABAH.
"Ya Allah, ampunilah dosa abah dunia dan akhirat. Damaikanlah dia di sana. Semoga abah ditempatkan di kalangan insan beriman. Amin."
AL Fatihah buat Haji Ahmad bin Haji Chik & Hajjah Siti Ruhani binti Idres.
#didedikasibuatyangtiada
#abaikantatabahasadankesilapan
#ideaspontanselepassahur
#salamramadan
Labels:
Cerpen
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment