Monday, 13 November 2017

Bab 1 - Dia Khalifah Hatiku


Empat tahun lepas…

“Ibu percaya Tasya mampu buat yang terbaik. Takkan Tasya sanggup nak hampakan harapan ibu dan ayah?" Puan Aisyah memujuk aku.

Bahu aku dipaut erat. Digosok-gosoknya dengan mesra dan penuh kasih sayang. Memang ibu cukup punyai kemahiran tinggi dalam memujuk dan memotivasikan aku.

"Masalahnya bu, Tasya memang tak boleh ‘genglah’ dengan civil engineering ni!” Aku merengek dan memeluk ibu erat-erat. Aku memang manja juga walaupun sesekali aku tampak kasar.

Aku tatap pula wajah ayah yang masih berdiam diri. Seolah-olah memberikan peluang kepada ibu untuk memainkan peranannya. Wajah ayah aku pandang sepi. Aku buat muka sepuluh sen, pamerkan wajah kasihan kepada mereka berdua. Harapan aku berbunga-bunga agar mereka mengalah. Dalam hati ini terus berdoa, agar mereka terpujuk dengan rayuanku kali ini.

Acapkali aku sudah suarakan keengganan. Sayangnya, ibu dan ayah aku tetap berkeras. Hanya aku harapan untuk menyambung cita-cita mereka. Aku semakin serba-salah kerana desakan kali ini lebih hebat.

“Tasya kena cuba dulu. Tak kenal maka tak cinta. Ni tidak., belum apa-apa lagi dah mengalah. Mana tahu, nanti Tasya boleh serasi ke dengan civil engineering? Ada masalah, ibu dan ayahkan ada. Kami boleh jadi tempat rujukan., Encik Mutalib sudah bersuara.

‘Alamak! Habislah,’ desis hatiku. Agaknya ayah sudah naik letih melihat drama babak demi babak di antara aku dan ibu sejak tadi.

“Cuba dulu sayang. Tasya satu-satunya permata hati kami. Jika tak Tasya tunaikan impian kami, siapa lagi sayang. Betul tak, ibunya?” Encik Mutalib terus mencucuk jarum lebih dalam.

“Betul, betul, betul!” Puan Aisyah terus menyokong hujah suaminya. Hendak tergelak juga aku bila ibu jawab persis kartun Upin dan Ipin.

“Masalahnya, cuba ibu dan ayah tengok kulit Tasya yang putih, mulus dan gebu ni. Kalau Tasya ambil juga civil, habislah hitam legam Tasya nanti. Terus berjelaga. Kulit Tasya sensitif sangat dengan cahaya matahari. Kalau Tasya dah tak cantik, nanti jodoh lambat macam mana?” Ibu dan ayah aku terus terdiam seketika. Mereka berpandangan di antara satu sama lain. Ada-ada sajalah alasan aku untuk mengelak habis-habisan.

“Tasya minat sangat dalam bidang farmasi. Berilah peluang Tasya pelajari bidang yang Tasya suka, please!" Puas aku kelip-kelipkan mata kepada ibu dan ayah. Aku masih tidak putus asa memujuk.

Akhirnya, Encik Mutalib dan Puan Aisyah tetap menggeleng serentak. Tanda tidak setuju. Wajah Encik Mutalib semakin tegang dan dia mengeluh panjang. Nampaknya itu tanda-tanda kegagalan mutlak aku.

"Maaf, Tasya. Kali ini, ibu dan ayah memang kena bertegas. Tasya mesti tunaikan permintaan kami. Lagipun Tasya saja pewaris kami dan bakal terajui konsultan kita. Susah payah kami berdua usahakan selama ini. Takkan, hendak biarkan terkubur begitu saja. Memanglah konsultan kita tidak sebesar mana tapi masih berpotensi besar!” Encik Mutalib mula bersyarah seperti pakar ekonomi.

"Okay. Apa kata untuk puaskan hati semua pihak, kita buat perjanjian menang-menang. Nak tak?” Encik Mutalib mula mencetuskan idea.

‘Menarik,’ Aku memasang telinga dan menanti kata-kata ayah dengan penuh minat. Nampaknya aku terpaksa mengalah. Tidak salah rasanya, aku membahagiakan ibu bapa sendirikan!

“Tasya tunaikan hasrat kami dengan cemerlang. Kami pula akan tanggung kos untuk kekalkan Tasya cantik. Tak kisah berapa kosnya. Nak pergi spa sebulan sekali, nak suntik kolagen, rawatan kecantikan dan apa saja. Setuju?” Encik Mutalib terus memancing perhatian anak tunggalnya.

‘Amboi tawaran hebat ni!’ Hati aku berbunga-bunga dan begitu teruja. Jarang sungguh ayah hendak bermurah hati. Peluang keemasan hanya beberapa kali hidup. Inipun sebab ibu dan ayah begitu terdesak dan terpaksa memaruah aku. Aku tergelak gembira dalam hati. 

“Ooo… Mana adil! Abang tawarkan pada Tasya saya. Isteri abang yang tercinta ni, tak ada ke?” Puan Aisyah membangkitkan rasa cemburu. Aku dan ayah tergelak dibuatnya. Comel pula, ibu buat muka dan muncung begitu. 

“Abang nikan suka membazir tau. Baik duit tu abang simpan dan kita boleh melancong. Clorox kan ada. Jimat dan murah lagi. Hah, dekat dapur tu pun ada berbotol-botol. Sesuai untuk putihkan kulit Tasya ni nanti,” Dalam diam aku terkena. Puan Aisyah mengusik aku. Kali ini, aku pula berpura-pura merajuk.

Apabila lihat muncung aku panjang sedepa, apa lagi kena tariklah dengan ayah. Sejurus, kami sekeluarga tergelak terbahak-bahak. Jika tidak ada yang merajuk, memujuk dan mengusik, janganlah dipanggil Keluarga Encik Mutalib.

“Ayah, tengoklah ibu ni. Cemburukan Tasya. Ibu memang sudah sedia cantiklah.” Aku merengek sambil memeluk tubuh Puan Aisyah erat-erat.

“Ayah dah puas tengok muka ibu sejak bercinta lagi, kekadang muak pun ada. Betul tak ibunya?” Encik Mutalib mengusik Puan Aisyah.

“Malam ni, abang tidur kat ruang tamu ye!” Rajuk manja Puan Aisyah.

“Abang gurau jelah,” Encik Mutalib menyusap kepala isterinya. Sempat lagi dihadiahkan kucupan hangat ke pipi si isteri.

“Abang, malulah. Kan depan anak!” Puan Aisyah mencubit manja peha Encik Mutalib.

“Biarlah. Baru dia tahu ibu bapa dia, makin tua makin sweet.” Kami sama-sama tergelak lagi.

“Okaylah, sayang. Kita pakai peluntur je ye!” Puan Aisyah dan Encik Mutalib gelakkan aku lagi.

Mana tidaknya, mereka berdua siap mengejek dan membayangkan wajah aku yang bakal berpanau dan berjerawat sana sini. Dapat-dapat lagi aku memang agak alergi dengan panasnya matahari. Aku mengurut dada melihat kenakalan ibu dan ayah sedang mengusik.

‘Tasya, bawa-bawalah banyak bersabar. Takkan kau nak mengamuk pula. Nanti jatuh status anak derhaka. Tempah tiket ke pintu neraka. Baru tahu!” Aku memuhasabah diri.

“Aishh… Tak sanggup aku!’ Berjaya juga aku memujuk hati.

"Baiklah. Kalau Tasya setuju, ayah takkan mungkir janjikan. Mesti wajib taja kos rawatan dan produk kecantikan untuk Tasya? Walaupun, Tasya dah berkahwin nanti?" Aku mahukan kepastian. Encik Mutalib tersenyum dan mengangguk.

"Jadi anak ayah setujulah nikan?" Tanya Encik Mutalib lagi. Wajah ibu dan ayah aku pandang silih berganti.

"Alah, tolonglah bu. Cakaplah dengan ayah, jangan paksa Tasya!" Aku masih harapkan mereka berubah fikiran. Memang sungguh, aku tidak meminati langsung jurusan bidang kejuruteraan awam. Walaupun kedua ibu bapa aku memiliki kelulusan dalam bidang yang sama.

"Jika bukan kamu, siapa lagi yang layakk jadi pewaris syarikat jika bukan kamu. Penat  kami bina dan usahakan selama ini. Macam ayah katakan tadilah. Ayah tak ada anak lain. Melainkan Tasya dapat carikan ayah bakal menantu seorang jurutera. Kita tutup kes, boleh?"

Lagi bertambah muncung panjang, aku dibuatnya. Belajar pun masih belum habis, ayah sudah berani bercerita tentang jodoh pula. Dekat mana pun aku nak culik bakal menantu jurutera?

"Ibu, tengoklah ayah tu. Dia kenakan Tasya lagi."

Sudah biasa, gabungan suami isteri ini memang buatkan aku kalah. Baik aku simpan saja gelak dalam hati. Ego aku perlu juga dijaga sekali-sekala. Baharulah orang akan tabik spring.

"Haish...abang ni sudahlah tu. Tapikan betul juga kata ayah kamu. Dapatkan kami menantu jurutera, senang sikit kerja. Anak tidak mahu, menantu ada jadi pewaris."

‘Tengok ibu pun bersuhabat sama. Memang aku tidak akan menang perdebatan percuma nampaknya,’ rungut dalam hati.

"Baik. Kalau Tasya terkandas, ibu dan ayah jangan menyesal. Jangan nak salahkan Tasya nanti.” Aku mengugut mereka lagi.

"Insya Allah, berkat doa kami, kamu akan berjaya. Percayalah!"

Mereka berdua terus mengaminkan kata-kata tadi. Terus menyelinap ke dalam sanubariku dan terpalit satu perasaan. Tak sanggup mengecewakan hati mereka berdua. Syurga aku selamanya. 

“Baiklah, baiklah.” Aku bersetuju walaupun dengan separuh hati.

"Termasuklah pakej menantu jurutera awam yang hebat sekali tau. Amin." Encik Mutalib berbisik ke telinga aku.

‘Memang ayah nak kena geletek ni.’ Encik Mutalib yang seperti berjaya membaca fikiranku dengan pantas melarikan diri. Puas hatinya sambil ketawa gembira.  

No comments:

Post a Comment