Monday, 4 December 2017

Aku Bukan Warismu - Part 1

Aku Bukan Warismu - Part 1



“Nakkk…Manisahhh….”
 
“Nakkk….” Suara itu sayup-sayup bersulam desir angin senja. Sayu dan merayu. Serak- serak basah dan meremangkan bulu tengkuk.
Dia pejamkan mata. Pekakkan telinga. Merayu hati agar mengendahkan suara itu. Lebih- lebih lagi dia perlu segera lunaskan rutin hariannya. Tidak betah berlama di sini. Dapur kayu yang berasingan dengan rumah ibu, beratapkan anyaman daun nipah. Berdindingkan persekitaran alam maya.
Tangannya ligat menanak nasi. Lauk-pauk dipanaskan. Air juga dijerangkan. Sebahagian kecil bara api diletakkan atas tempat bara. Emaknya, Mak Itam minta dia, letakkan dalam bilik tengah nanti.
“Nakkk….” Getaran suara itu meruntun resah ke jiwanya. Dia tidak pernah terima pengunjung misteri waktu begini.
“Nakk…Manisahhh….” Debaran hati Manisah semakin kencang. Jantungnya berdegup pantas, mengalahkan seperti berlari berbatu-batu. Dalam keterpaksaan, dia berpaling jua. Sempat juga dia berdoa sebelum menoleh.
Seorang nenek berbaju Kedah lusuh dan berkain batik. Berselendang putih, tertutup sebahagian wajahnya. Bertongkat rotan, hulunya berkepala ular tedung. Ala-ala nenek kebayanpun ada. Nenek itu segera hulurkan satu bungkusan yang diliputi dengan daun pisang kepada Manisah.
“Tolong bagi pada mak kau, Manisahhh…” Terketar-ketar tangan nenek itu. “Diaa… Janji nak datang ambillll…” Getaran suara nenek itu terhenti.
“Puas nenek tunggu, tak dituntut jua. Fasal tu nenek hantarkan sendiri. Wah, dah senang masuk ke sini rupanya…” Nenek tua itu tersengih hingga terpamer sebaris giginya yang jarang dan berkarat. Sesekali dia memperbetulkan sentel tembakau yang terselit di mulutnya.


‘Apa maksud dia dah senang masuk ke sini…?’ Sempat Manisah bertanya dalam hati. Bulu tengkuk Manisah semakin meremang. Bau tidak enak mula terhidu oleh hidungnya. Teragak-agak Manisah menyambutnya. Namun jika itu barang penting milik emaknya, terpaksa rela dia terima.
“Jangan dibuka ye. Pesan emak, tolong uruskan cepat sikit. Nenek tak boleh tunggu lagi. Terseksa rasanya.” Manisah angguk tanda faham. Manisah berpaling dan letakkan itu bungkusan itu atas anak tangga kayu. Baharu sahaja ingin bersalaman dengan nenek tua, kelibat tadi lenyap entah mana. Hanya bau busuk yang makin kuat ditinggalkan.
“Busuknya, macam bau bangkai.” Manisah terasa sangat loya. Baunya menjijik. Tidak boleh cerna oleh deria-derianya. Tidak semena, isi dalam perutnya termuntah keluar. Pucat lesi wajah Manisah, bagaikan ditoreh tidak berdarah. Gelisah Manisah makin memuncak, terus meremang bulu tengkuk Manisah. Digosok-gosok tengkuknya agar lega sedikit rasa itu.
Renungan Manisah tertumpu kepada bungkusan daun pisang itu.
 
“Apa ada dalam ni ye? Dicium tidak berbau, dipicit agak lembik pula tu!” Manisah membebel sendirian.
“Manisah, apa yang kau belek tu?” Terperanjat Manisah disergah Mak Itam. Sikit lagi mahu terlepas bungkusan itu.
“Nah, mak. Ada seorang nenek tua bagi tapi dia tak kasi Manisah buka.” Manisah hulurkan bungkusan itu.
“Cepatnya dia datang. Janji minggu depan. Mak tak sediakan apa-apa pun.” Mak kenal siapa nenek itu? Sediakah apa? Manisah musykil. Mak Itam berfikir seketika.
“Kau letakkanlah bungkusan ni dalam dulang emas, dekat bilik tengah sana. Jangan lupa, sediakan sekali tempat bara dan bakarkan kemeyan hitam. Mak nak keluar ke pokok besar tu sekejap.” Muncung Mak Itam menunjuk ke arah pohon ara yang tegak merimbun di sebelah rumah Manisah.  Sesekali diamati agak menyeramkan. Akar-akar yang tersembul keluar ke permukaan tanah dan akar-akar kecil  yang bergayutan, seolah-olah memanggil entiti asing


bermain di situ. Tiada lagi orang yang berjaya menebang pohon ara itu, semenjak dia masih kecil lagi.
“Baiklah mak. Manisah nak mandi sekejap.” Manisah menyalami Mak Itam. Mak Itam pantas berjalan membelah gelapnya malam. Sesekali terdengar riuh rendah bunyi pinggan mangkuk dari situ. Manisah tidak pernah bertanya, kenapa emak pergi ke sana setiap kali bulan mengambang penuh. Lantaklah, bukan urusan diapun.
Manisah sudahpun berkemban. Sebahagian atas badannya yang terdedah diliputi dengan tuala mandi. Berbekalkan lampu gasoline minyak tanah, dia berhati-hati melangkah ke arah di belakang rumahnya.
Selangkah Manisah melangkah, setapak juga dia mengesan derapan ranting-ranting kayu di belakang. Seolah-olah ada sesuatu yang mengekori.
“Woi, jangan sakat akulah. Aku nak mandi sahaja di perigi ini. Pergi kau jauh-jauh.” Perigi itu terletak lebih kurang dua puluh tapak daripada rumah limas Manisah. Dikepung dengan anyaman nipah saja, bertimbakan nipah kelapa. Manisah mengangkut tualanya di tiang yang memang sengaja dipacakkan di situ. Ditimba air perigi itu satu persatu. Dingin air perigi, apabila menyentuh tubuhnya yang mulus.
Manisah bernyanyi-nyanyi kecil. Sesekali telinganya sempat menangkap bunyi asing yang ada di situ. Kicauan burung jampuk agak hampir. Seolah-olah bertengkek di atas kepalanya. Terdengar juga seretan kuku tajam, dekat dinding penghalang perigi itu.  Bulu tengkuk Manisah kembali meremang lagi.
“Aku nak mandi je. Jangan kacau aku boleh tak?” Manisah berseru lagi. Dia terasa asyik diintai oleh sepasang mata warna merah saga bernyala. Hati Manisah tidak keruan. Dapat pula Mak Itam juga tiada bersamanya. Taubat dia, tidak mahu mandi lagi di waktu senja pada masa akan datang.
Manisah mula terasa pedih di permukaan kulit lengan kanannya. Seolah-olah dicakar oleh kuku yang panjang dan tajam. Manisah menoleh ke arah yang sama lagi. Kali ini, benar-benar sepasang mata merah saga itu masih kekal merenungnya dari situ. Jantung Manisah makin


berdegup kencang. Manisah tidak mahu berlama lagi di perigi itu. Dia mahu tarik tuala mandi tadi, namun seolah-olah tersangkut dan berlawanan tarik menarik dengan sesuatu.


Mata Manisah masih tertancap dengan empunya sepasang mata merah saga itu. Manisah mula menapak berundur. Dia mahu lari balik ke rumah limasnya. Setelah berundur beberapa tapak, dia seolah-olah terlanggar sesuatu yang berbulu lebat dan tegap. Manisah cuba pegang, dia mendengar suara mengerang agak kuat. Dia mendongak ke arah atas apabila di kepala tertitis beberapa titisan seperti air.


Terkejut Manisah bukan kepalang Rupanya bahawa dia berada di bawah celah kelangkang seekor makhluk hitam berbulu lebat. Air yang menitik tadi, disuluhnya dengan gunakan lampu gasoline itu. Rupa-rupanya darah merah yang menitis agak deras.


Dbukkk!! Bunyi kuat, jatuh sesuatu di hadapan Manisah. Seekor kambing hitam yang mati dan telah dirobek perutnya yang jatuh di situ. Manisah terus lari lintang pukang. Tidak jejak bumi kakinya. Dia ngeri dengan  bunyi rengusan  dan geli tengok perut kambing hitam itu sudahpun dirobek zalim dan berlumuran darah.
P/S: Bagaimana, berdebar tak? Tunggulah penamatnya.

No comments:

Post a Comment