Sunday, 26 November 2017

Penjara Kasihku ~Bab 1

Penjara Kasihku ~ Bab 1

Fuhh, lega!” Amir menghempaskan badannya. Terus bersandar di kerusi empuk itu. Haryati tumpang tersenyum juga.

“Tahniah, Haryati. Good job!” Berhari-hari, mereka berhempas pulas menyiapkan kertas kerja untuk mempromosikan Rangkaian Hotel M&M di Dubai. Akhirnya siap juga. Melalui perbincangan di atas talian,  Amir mendapat pujian dari pihak sana. Haryati ligat mengemas dokumen-dokumen penting yang bersepah di atas meja bosnya itu.

“Saya bangga dengan tuan dapat yakinkan pelanggan kita di Dubai tu. Banyak lagi saya kena belajar nampaknya.” Haryati berbahasa sambil merendahkan dirinya.

“Bukan awak. Tapi saya yang kena banyak belajar. Tanpa awak, pengsan saya. Okaylah, saya dah penat. Saya balik dulu,” laju saja Amir melemparkan apa yang perlu ke dalam beg kerjanya.

“Eh, awalnya tuan?” Sengaja menduga bosnya. 

“Kenapa tak boleh? Saya ke bos atau awak boleh?” Amir menduga Haryati kembali.

“Tentulah tuan. Saya kuli je,” tersengih-sengih Haryati dibuatnya. Bergurau pula singa lapar ni.

“Papakan tak sihat dan saya nak luangkan lebih masa dengan dia. Kerja banyak dah selesai, jadi saya nak off beberapa hari. Saya buat kerja dari vila je. Ada hal penting, macam biasalah. Whatapps dan e-mel. Okay, Haryati. Tolong jagakan ofis. Apa-apa roger saya, okay!”

“Baik, Tuan Amir. Ada apa-apa lagi?”

“Oh ya, jangan lupa hidupkan alarm sebelum awak tinggalkan bilik ni. Jangan lalai!”

“Faham, tuan.”

Amir bingkas ke pintu biliknya. Haryati mengiringi Amir seperti selalu. Bak kata orang, setiausaha umpama isteri di pejabat. Isteri yang sebenar, entahlah bila nak bertemu jodoh. Amir sendiri pun tak pasti. Sempat juga fikiran Amir melayang yang bukan-bukan.

“Tuan, lama lagi ke kita kat di sini?” Dah macam belangkas, di mana ada Amir di situ adanya Haryati. Payah jika Haryati tidak bersamanya. Haryati umpama Goggle Rangkaian Hotel M&M. Tahu segala-segalanya.

“Tak pasti lagi. Semuanya bergantung pada kesihatan papa. Tapi saya nampak di selesa di Vila Desa. Doktor pun ada cakap kesihatan dia bertambah baik.” Ya, Vila Desa sebuah rumah penginapan mereka sekeluarga yang berkonsepkan Eco-City terletak di Kampung Batu Ria, Perak.

 “Yati, awak tolong set upkan cawangan Ipoh ni jadi ofis kedua saya! Saya nak luangkan lebih masa kat sini. Sekali sekali je, saya akan ulang-alik ke HQ Putrajaya.”

“Baiklah, nanti saya hubungi interior designer untuk setkan ofis tuan sama macam Putrajaya! Okay!” Haryati mencatat sesuatu dalam I-Padnya.

“Bagus. Awak tahu cita rasa sayakan. Awak memang bijak dan cekap!” Bangga Amir punyai setiausaha seperti Haryati.

“Tuan nak saya pindah ke sini jugak ke? Saya belum bincang dengan mak ayah saya lagi,” risau terpalit di wajah Haryati. Sejurus, Amir terus menggeleng.

“Tak perlu. Nadiakan ada. Saya nak awak latih dia jadi PA saya kat sini. Cepat Nadia pandai, cepat awak boleh balik ke HQ semula. Khidmat awak lebih diperlukan di sana. Saya nak awak jadi mata dan telinga saya kat sana. Saya tak nak mereka berseronok tanpa diperhatikan. Faham!” Tegas Amir. Dia memang tidak suka ada masalah disebabkan kelalaian. Staf-staf Rangkaian Hotel M&M memang sudah maklum dengan perangai tegasnya a.k.a singa lapar.

“Baiklah, tuan. Hati-hati memandu. Sampaikan salam saya pada Dato’ Mansor dan Datin Masyitah.” Amir mengangguk dan tersenyum. Nampaknya emosi Amir agak baik hari ini.
“Insya-Allah. Awak pun jangan balik lewat sangat!”

‘Kan dah kata, mood dia baik. Terlebih prihatin pula dia hari ini.’ Pelik juga Haryati dibuatnya. Tapi lebih baik daripada menghadap wajah Amir yang mencuka sepanjang hari.

“Bukan apa, saya takut awak komplen belakang saya. Bos sedap-sedap balik awal, setiausaha jadi jaga dekat ofis!”

“Eh mana ada saya cakap tuan macam tu!”

“Jangan kata saya tak payung pulak.” Melirik senyuman Amir mencecah ke telinga. Jarang-jarang Amir nak mengusik setiausaha sendiri. Entah apa yang menceriakan hati Amir, Haryati tidak pasti.

“Terima kasih, tuan.”

Dato’ Mansor dan Puan Masyitah amat lega, semangat Amir kembali pulih. Sekarang Amirlah yang mengemudi Rangkaian Hotel M&M sepenuhnya. Sayangnya, Dato’ Mansor masih belum terbuka hati memindahkan pemilikan rangkaian hotel mereka ke atas nama Amir Mazlan. Dibiarkan dahulu Amir merasa makan gaji dengan syarikat keluarga sendiri.
Hendak ikutkan hati Amir, malas dia nak bertanyakan hal ini kepada papanya. Dia tahu papanya bila bertindak pasti ada alasan tersendiri. Jika papanya tidak yakin dengan pencapaiannya, mustahil juga. Dato’ Mansor tidak pernah lekang memuji pencapaian memberangsangkan Amir terutama dalam mempromosikan dan pertambahan pengunjung hotel rangkaian mereka.

Entah kenapa, persoalan ini asyik bermain di minda Amir. Jiwanya terpalit rasa tidak puas hati dan tidak dihargai. Sememangnya dia sudah sedia menerajui rangkaian hotel itu. Hatinya berbolak-balik sama ada perlu atau tidak diutarakan soalan cepumas itu kepada Dato’ Mansor.

“Papa, papa. Bilalah nak diserahkan segalanya pada Am? Nak kata Am tak kerja keras, Am dahpun buktikan kejayaan demi kejayaan Am. Apa lagi papa nak pun, Am tak tahu?” Amir mengeluh sendiri.

“Memang patut pun papa berehat di rumah. Papa dah puas berkerja keras sara keluarga dan bina empayar hotel kita sampai ke tahap ni.” Amir masih bergumam sendiri.
Keluarga adalah keutamaan Amir sekarang. Inilah masa terbaik untuk merapatkan hubungan mereka anak beranak. Banyak masa telah dibazirkan lantaran kekecewaan lalu. Setakat kena berulang-alik dari Ipoh ke Putrajaya dan Putrajaya ke Ipoh, sudah jadi alah bisa tegal biasa baginya.

“Baiklah, tiba masanya untuk bersuara.” Dalam hati Amir kecut perut juga. Papanya tampak saja tenang, namun bila bertegas pasti tidak berkompromi dengannya.

No comments:

Post a Comment