Suasana di ruang tamu di rumah
Encik Haikal agak tegang. Sesekali seperti sudah bertukar di mahkamah pun ada.
Mahkamah yang akan menjatuhkan hukuman walaupun pesalahnya belum tentu lagi
bersalah.
Sampai sahaja di perkarangan rumah
aku, Milah, adik tiri bongsu aku terus menerpa mendapatkan kami berdua.
"Kak Long, ayah dan mak uda
dah balik. Mereka suruh kak long dan abang ni masuk ke dalam!" Milah
kelihatan agak gelabah.
Aku dan Raihan Irsyad berpandangan
di antara satu sama lain.
"Shimah, kenapa ni? Kenapa
adik awak kalut semacam? Macam kena kejar hantu?" Raihan bertanya
bertalu-talu. Aku menggeleng, pelik tak pernah Milah bersikap sedemikian.
"Saya tak tahu, Han. Setahu
saya, ayah dan mak uda sepatutnya masih berada di Kuantan. Pasal ayah ada mesyuarat
dekat sana."
"Cepatlah, kak long. Nanti
ayah bising. Ayah tengah mengamuk sakan tu. Adik takutlah."
"Raihan, macam mana ni?"
Aku renung anak mata dia. Raihan tampak tenang sahaja.
"Jomlah kita masuk. Kita
tengok dulu apa ceritanya?" Raihan ajak aku masuk ke dalam rumah aku
sendiri. Sebaik sahaja kasut ditanggalkan, aku terus melangkah menghampiri ayah
dan mahu bersalaman dengannya.
Pang! Aku jatuh tersungkur. Pijar
dirasakan di pipi aku yang tak berapa tembam ini.
'Kenapa aku ditampar? Apa salah
aku?' Aku terpinga-pinga. Air mata terus mengalir laju. Sempat aku mengerling
ke arah Raihan yang seolah-olah bersimpati dengan nasibku.
"Ooo, inilah lelaki yang
selalu usung kau keluar ke hulu ke hilir selama ni ye, Shimah!" Lurus jari
telunjuk Encik Haikal menuding ke arah muka Raihan. Raihan juga kaget.
'Aku? Bukan hari ni baharu kali
pertama aku keluar dengan Shimah ke?' Raihan tanya dirinya sendiri.
Bingung pula Raihan dituduh begitu.
Raihan mula terfikir juga. Apakah aku yang baharu dikenalinya tadi, seorang
yang agak sosial dan liar sebelum ini?
"Ya bang. Ni lah jantannya.
Uda puas menegur sikap Shimah selama ni tapi uda pula yang dilawannya. Cuba
abang tengok gambar ni betul-betul. Kan sama pakaian mereka!"
Mak uda adalah gelaran yang berikan
pada mak tiri aku, Puan Maria. Dia memang tak sukakan aku sejak berkahwin
dengan ayah. Mereka berkahwin ketika usia aku mencecah 16 tahun dan kira-kira
empat bulan setelah ibu kandung aku meninggal dunia. Alasan ayah sangat mudah,
tidak mahu bebankan aku dengan urusan rumah tangga sebab status aku sebagai
pelajar.
Gambar itu erat di tangan ayah.
Gambar yang merakam detik Raihan sedang membantu aku dan aku berpaut kepadanya
untuk berdiri semula di pusat membeli-belah tadi. Masa itu, aku terpelecok dan
jatuh terduduk. Akibat tumit kasut aku terpatah.
'Masa tulah kau nak patah, tengok
sekarang apa dah jadi,' bebel aku dalam hati. Aku segera dapatkan gambar itu
dan tengok sama-sama dengan Raihan. Kami berpandangan dengan persoalan di benak
yang kosong.
Jika dilihat dari posisi gambar itu
diambil, memang boleh mendatangkan fitnah. Aku dan Raihan berdiri berhadapan di
antara satu sama lain. Kelihatan seolah-olah kepala Raihan sedikit menunduk dan
menghampiri wajah aku. Seperti dia sedang mencium pipiku.
‘Bagaimana pula gambar ni boleh
ada? Siapa pula yang jadi paparazi? Apakah ini juga penyebab, ayah dan mak uda
bergegas pulang dari Kuantan!’ Pelbagai persoalan bermain di benak aku
sekarang.
Sungguh aku tertekan dan bingung.
Aku hanya menanti reaksi ayah seterusnya. Nafasnya turun naik menahan marah.
Aku naik seram sejuk. Mana taknya, melihat kedua-dua belah telinga dan muka
ayah sudah merona kemerahan.
Sekilas ayah menghilang ke dalam
bilik kerjanya. Aku terpalit resah. Apakah yang bakal terjadi selepas ini? Ayah
jika baran sudah sampai, gunung berapi yang tak aktif pun boleh terangsang
untuk meletus.
Sebentar kemudian, Encik Haikal
kembali ke ruang tamu. Aku tergamam. Raihan juga begitu. Dia tidak keseorangan.
Kini Encik Haikal bertemankan sebatang senapang patah. Di hadapan kami,
beberapa butir peluru hidup diisi ke dalamnya. Pantas dia melangkah panjang
menghampiri Raihan. Hujung senapang diacukan ke kepala Raihan. Picu senapang
ditarik dan jari manis Encik Haikal sudah bersedia untuk tindakan selanjutnya.
Aku cuba menahan tingkah
ayah, namun matanya galak memberikan amaran supaya aku tidak bergerak walau
setapak pun. Air mata aku laju membasahi pipiku. Degupan dadaku begitu kencang.
Aku hanya mampu berdoa janganlah ayah nekad.
"Berani kau sentuh anak aku ye!
Sekarang aku tanya kau, nak bertanggung jawab pada Shimah atau tidak?"
Raihan menggeletar. Lidahnya kelu, peluh mulai merecik membasahi dahinya.
'Apa aku nak jawab ni? Nak
bertanggung jawab apa? Kami bukan ada hubungan istimewapun!' Raihan memegang
hujung senapang patah itu dan alihkan dari dihalakan ke kepalanya. Risau juga
jika nyawanya melayang nanti. Amal ini ibadat pun belum banyak. Keputusan hidup
di duniapun belum dirasai lagi. Dapat pula, Encik Haikal, bekas askar Melayu.
Bukan boleh diperselekehkan kecekalan hati lelaki itu.
"Kau nak fikirkan apa lagi?
Nak ke tak ni? Atau kepala kau bersepai kejap lagi?" Tengking Encik Haikal
agak kuat. Semua yang ada di situ juga tergamam.
Tidak semena Raihan mengangguk.
Sejurus senapang itu juga dijauhkan dari kepala Raihan.
"Bagus, nasib baik kau cepat
bagi keputusan. Kejap lagi, imam dan orang masjid sampai. Aku nak nikahkan kau
dan Shimah sekejap lagi. Faham!" Tegas Encik Haikal.
"Nikah!" Aku dan Raihan
terjerit serentak.
"Ya, nikah. Penat-penat aku
jaga elok-elok bunga sekuntum dalam rumah ni. Senang-senang je kau nak sentuh
dia. Pastu berlalu pergi. Aku takkan biarkan hal ni terjadi. Esok lusa dia
buncit, kau gelakkan dari jauh." Sergah Encik Haikal.
"Ayah ni semua fitnah."
Aku cuba membela diri.
"Betul pak cik. Fitnah. Baru
kali pertama saya keluar dengan dia." Raihan pula bersuara membela diri.
"Kali pertama dah ajar anak
tiri aku buat maksiat." Tambah mak uda sinis. Cukup untuk menjiruskan
minyak ke api yang sedang marak.
"Aku tak nak tahu apa-apa lagi,
Raihan Irsyad bin Zainuddin. Aku dah siasat latar belakang kau. Aku tak ada
masalah kahwinkan anak sekarang dengan kau. Kau duduk situ diam-diam dengan
Shimah sampai imam datang. Faham!" Tegas Encik Haikal lagi.
Tergamam juga Raihan bila nama
penuhnya dipanggil. Mana Encik Haikal tahu agaknya?
Aku dan Raihan duduk di atas sofa.
Kami berpandangan di antara satu sama lain. Pandangan Raihan sukar
dimengertikan. Aku tahu Raihan di dalam dilema. Menolak bernikah dengan aku
bererti nyawanya bakal melayang. Memilih berkahwin dengan aku, memang mimpi
ngeri untuk aku. Keluar bersama pun baharu. Terus hendak naik tahta jadi suami.
Hebat! Kalah jalan cerita filem Hindustan.
“Awak apa kita nak buat ni?” Tanya
aku, namun Raihan hanya mengungkit bahu.
“Macam tak da pilihan je?” Raihan
jawab selamba.
“Awak suka ke? Saya belum sedia nak
kahwin. Saya masih belajar lagi. Tak matang lagi. Macam mana nak jadi isteri
orang?” Macam mesingan ditembak, aku tanya Raihan bertalu-talu. Raihan
menjungkit bahu sekali lagi.
“Tunggu dan lihat jelah,” bisik dia
kepada aku.
"Assalamualaikum..."
Imam dan orang-orang masjid sudah
sampai. Cepatnya, gumam aku dalam hati.
“Waalaikummusalam. Jemput masuk
imam dan yang lain.” Encik Haikal bersalaman dengan mereka baru tiba
dengan senyuman nipis. Raihan juga menyambut apabila tangan sudah disuakan
dihadapnya.
“Apa hajat, Encik Haikal
tergesa-gesa panggil ahli jawatan kuasa masjid ni?” Tanya tok imam.
“Begini, saya dapat tangkap anak
dara saya berkelakuan tak senonoh dengan lelaki ni. Sebab tu, sebelum mereka
berdua terlanjur, saya sebagai wali dan bapa pada anak dara saya hendak
nikahkan mereka berdua sekarang ini juga,” tegas Encik Haikal.
Tidak semena-mena aku menjadi
sebak. Aku sudah mahu pitam dan pengsan mendengar tekad yang diutarakan oleh
ayahku. Terasa masa depan aku terus gelap gelita.
"Nikah?" Itu saja yang
terkeluar daripada lafaz bibirku.
Akhirnya pandangan aku terus
menjadi kabur. Entah ke mana badan aku berkulai dan rebah aku tak pasti. Hanya
tempikkan namaku yang ku dengar sebelum mataku terpejam rapat. Suara siapa,
entahlah!
No comments:
Post a Comment