Hamparan lautan biru luas terbentang. Indahnya panaroma kehidupan alam semesta. Ikan di lautan, riang ria berenang bagai tiada masalah sezarahpun. Angin sepoi-sepoi bahasa, gigih menyapa wajah Amir. Matanya dipejam menghayati dan menenangkan jiwa raga yang resah gelisah.
Hidup perlu diteruskan, kedukaan perlu dipadam segera. Amir Mazlan bin Dato’ Mansor, masih memujuk hati. Agar jadi manusia yang reda menerima takdir Ilahi. Pasti Dia tahu apa yang terbaik untuk dirinya. Betullah, penderitaan harus dilupakan. Kehidupan perlu diteruskan. Pesanan orang tua-tua, menyayangi seseorang janganlah terlampau. Jika terkecewa, lukanya akan lambat sembuh.
Rezeki, maut, masa depan dan jodoh, memang Tuhan yang merencanakan. Usah dilawan takdir mendatang. Terimalah dengan hati terbuka dan reda. Kita hanya mampu berdoa untuk lebih baik.
Amir Mazlan, mahu mulakan hidup dan menghirup semangat yang baharu. Lama dia terdampar di Pulau Mabul, mencari sesuatu yang kehilangan di dalam dirinya.Wajahnya tidak terurus dengan bulu-bulu di wajahnya tidak dicukur langsung. Rambutnya panjang melepasi bahu kerana terlalu ikutkan perasaan.
Kepulauan inilah menjadi saksi peperangan jiwa dan raganya. Wanita, makhluk ciptaan Ilahi yang sukar ditafsirkan. Wanita boleh jadi penawar, wanita jua boleh jadi racun berbisa. Apakah masih ada wanita yang ditakdirkan jadi rusuk kirinya selepas menerima kecurangan itu? Dia tidak pasti.
Tidak adil menyusahkan diri lagi. Saban hari dia mendengar luahan hati dan kesedihan hati insan bergelar mama, Datin Masyitah. Merintih dan mengadu agar Amir kembali segera. Kesihatan papanya, Dato’ Mansor semakin merosot. Khidmat tenaga dan mindanya amat diperlukan di Semenanjung Malaysia. Tinggal dua permata hatinya itu perlu dipelihara dan dijaga rapi. Merekalah naungan syurganya di dunia.
Lahirlah Amir Mazlan berwajah baharu, walaupun kelukaan masih ada. Pokoknya Amir akan lebih berhati-hati dengan insan bergelar wanita. Siapakah wanita yang bakal dipenjarakan dalam hati dan hidupnya? Siapakah wanita yang bakal jadi suri hatinya?
‘Entahlah.’ Itu yang bergumam dalam hati Amir. Doanya semoga dia dikurniakan seorang wanita yang tabah melayani kehendaknya suatu hari nanti.
No comments:
Post a Comment