Sunday, 3 December 2017

Sah Aku Milik Dia! Bab 4 (Part 2)

Bab 4 (Part 2)




"Ni kereta siapa pula. Semalam bawa kereta lain, hari ini kereta lain. Berapa banyak kereta abang ada?" Aku cuba nasib bertanya. Mana tahu sikit maklumat pasal Raihan.


"Kereta kawan. Kereta semalam rosak." Bohong Raihan. Dia memang lokek untuk kongsi kisah dirinya.


"Oh ya, dalam hubungan kita ni, kita akan pakai kaedah kuku besi terpimpin. Maknanya, abang akan tahu segala-galanya pasal awak dan awak tak boleh tahu pasal abang sikit pun. Jika awak tahu rahsia abang sendiri, kiranya itu bonus untuk awak." Nampaknya Raihan dah mula lagi dengan arahannya.


"Jomlah jangan buang masa. Tadi bising saya lambat." Aku tak larat nak dengar dia terus berceramah.


Aku terperasan Raihan mengeluh panjang dan beristifar. Dia mulakan pemanduannya setelah membaca doa naik kenderaan. Aku hanya mengaminkan doa yang dibacanya.


"Hal ni belum selesai lagi. Kita bincangkan lebih terperinci semasa sarapan nanti. Tunggu awak bersiap lama sangat sampaikan naik kelaparan saya dibuatnya." Bebel Raihan. Aku pula tak kuasa bersoal jawab.


"Saya tahu, saya salah." Aku pasrah. Jatuh rasa kasihan semuanya disebabkan aku.


"Shima, cerewet makan tak?" Raihan sesekali menjengah kiri kanan, mungkin mencari restoran yang berkenan di hatinya.


"Tak. Apapun saya makan. Kalau pelik-pelik tu mungkin taklah. Asalkan halal, sedap dan bersih." Panjang lebar aku jawab.


"Kita makan mamak jelah. Dapat roti nan dan ayam tandoori pun okay gakkan." Raihan terus keputusan dan memarkirkan keretanya di hadapan Restoran Sri Megah. Aku yang malas banyak bunyi, terus keluar dari kereta bersama-samanya. Kami pilih tempat yang terselindung daripada pengunjung lain.


"Tosai telur satu, tosai biasa satu. Air milo suam dan ais kosong." Aku terus memesan makanan tanpa tunggu Raihan. Raihan memandang aku dengan senyuman sinis, agaknya mengejek aku agak kuat makan.


"Roti nan, ayam tandoori dua keping dan horlicks suam." Pelayan restoran itu berlalu setelah menulis pesanan itu.


"Abang sampai sekarang musykil, kenapa kita dipaksa kahwin? Kenapa Shimah tak pertahankan diri kalau tak salah ye?" Tiba-tiba Raihan bertanya.


"Ayah dah kena cucuk dengan mak uda. Dekat dalam rumah itu semua orang akan jadi bodoh untuk menidakkan kata-kata mak uda. Ayah selalu percaya pada mak uda. Saya memang selalu jadi mangsa." Aku meluahkan sambil memerhati permukaan meja. Tak sanggup bertentangan mata dengan Raihan yang cerlung menjamah wajahku.


"Awakpun takkan jadi bodoh jugak!" Raihan tanya lagi.


"Lebih kuranglah kut. Dengar kata mak uda gunakan ilmu penunduk pada kami. Tapi tak elok buruk sangkakan. Sebab tu saya pilih duduk asrama. Bila saya berada dalam rumah, saya jadi bingung. Bila di luar rumah saya mampu berfikiran waras."


"Lama lagi ke awak nak habis belajar? Ambil jurusan apa?"


Pagi ini terasa macam sesi suai kenal pula dengan Raihan. Nampaknya Raihan teruja untuk mengenali aku.


"Nak ikutkan semester sekarang masih berbaki separuh je. Semester depan kena praktikal, masih cari lagi tempat mana nak buat. Saya ambil seni bina."


"Jadi sekarang awak tengah cuti pertengahan semesterlah ni." Aku mengangguk, Raihan tersenyum. Nampaknya ada perancangan baharu yang muncul.


"Ha'ah, dalam tiga minggu. Tapi awak izinkan ke saya habiskan belajar?" Baharu tersedar aku akan bertukar status kepada isteri Raihan.


"Ayah pun nak saya terus bawa Shimah keluarkan!"


"Tahu. Puaslah hati mak uda dapat singkirkan saya. Saya je tak tahu apa masa depan dengan awak. Awak izinkan saya habiskan ijazah ke tak?"


"Awak lagi. Ingat ni burung wak-wak ke?" Marah Raihan.


"Maaf, Abang Han. Entahlah saya buntu. Semuanya terlalu pantas," Mata aku mulai berkaca-kaca menahan air mata.


"Awak percayakan saya." Raihan menghulurkan tisu kepada aku. Lemah lututnya lihat wanita menangis.


"Percaya atau tidak, empat hari lagi kita dah nak kena kahwin." Aku semakin sebak.


"Shimah percayakan abang tak?" Kali ini suara Raihan lebih lembut dan nadanya mungkin cuba memujuk aku.


"Kalau saya nilai balik cara abang suruh saya berpenampilan dan marahkan saya tertinggal solat subuh pagi tadi, rasanya Abang Han seorang yang ada agama yang kukuh. Lagipun abang boleh buatkan ayah bersetuju untuk nikahkan kita lepas dokumentasi selesai. Paling buat saya tersentuh, abang sanggup bagi ayah duit untuk adakan majlis kecil-kecilan buat kita. Terima kasih, bang." Hujahku panjang lebar disambut dengan senyuman manis Raihan.


"Apa pendapat Shimah terhadap abang?" Sekali lagi Raihan cuba menguji aku.


"Saya dapat rasakan abang daripada keluarga yang baik-baik dan ada nama. Jika tidak masakan ibu bapa abang ada di Australia dan abang di sini." Telah aku. Betul ke tidak, itu belakang cerita.


"Mmmm, okay. Pendapat yang baik tapi tetap tak bermakna Shimah akan bersenang-senang macam dengan ayah. Abang akan selalu menyusahkan Shima nanti."


"Ikut abanglah. Janji abang tak jual saya kat lorong gelap dahlah kan. Tapi pasal kepimpinan kuku besi terpimpin tu, boleh nego lagi tak!"


"Maaf tak ada talian hayat. Arahan dari ketua wajib dipatuhi oleh makmumnya. Dahlah jom makan."
P/S: Macam mana okay tak? Nanti komen sikit :)

No comments:

Post a Comment